Pengeluar Malaysia optimis meskipun IPP turun sedikit pada Oktober - S&P Global

Menurut S&P Global, bacaan IPP terkini itu menunjukkan KDNK dan pengeluaran pembuatan rasmi meningkat kukuh secara asas tahunan pada permulaan suku terakhir tahun itu. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Kalangan pengilang di Malaysia optimis terhadap peningkatan permintaan bagi tempoh akan datang walaupun aktiviti pembuatan menjadi sederhana pada Oktober, susulan aliran masuk pesanan baharu yang perlahan, menurut S&P Global.
Ringkasan AI
- Aktiviti pembuatan Malaysia sederhana pada Oktober dengan Indeks Pengurus Pembelian (IPP) mencatat 49.5, disebabkan aliran pesanan baharu yang perlahan dan keadaan operasi yang mencabar.
- Walaupun pengeluaran, pengambilan pekerja dan pegangan stok menurun, pengilang kekal optimis terhadap peningkatan permintaan dan pengeluaran pada tahun hadapan.
- Keyakinan sektor pembuatan mencapai paras tertinggi sejak April 2023, disokong harapan peningkatan pesanan baharu serta langkah syarikat menyerap kos bagi merangsang permintaan.
Ahli Ekonomi S&P Global Market Intelligence, Usamah Bhatti berkata data Oktober menunjukkan satu lagi penyederhanaan dalam sektor pembuatan Malaysia, menandakan keadaan operasi yang mencabar pada awal suku keempat.
Beliau berkata kalangan syarikat mencatatkan penurunan baharu bagi pesanan baharu, yang mendorong pengurangan berterusan dari segi jumlah pengeluaran.
“Keadaan yang perlahan juga mempengaruhi keputusan syarikat terhadap pengambilan pekerja dan pegangan stok, yang kesemuanya sederhana sepanjang Oktober,” katanya.
Usamah berkata bagaimanapun, pengilang menunjukkan keyakinan yang lebih kukuh terhadap prospek tahun hadapan.
S&P Global menjelaskan tahap keyakinan keseluruhan adalah tinggi, menandakan paras paling ketara sejak April 2023, apabila syarikat yakin pesanan baharu akan meningkat dan seterusnya mendorong output lebih tinggi.
Usamah berkata sentimen positif mencapai tahap tertinggi dalam tempoh dua tahun setengah susulan harapan bahawa pesanan baharu akan meningkat.
“Pada masa sama, syarikat memilih untuk menyerap tekanan kos yang meningkat dengan mengurangkan caj pengeluaran buat kali pertama dalam tempoh enam bulan bagi merangsang permintaan,” katanya.
Menurut S&P Global berdasarkan kaitan antara data IPP Malaysia dan angka pengeluaran rasmi sebelum ini, bacaan IPP terkini itu menunjukkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan pengeluaran pembuatan rasmi meningkat kukuh secara asas tahunan pada permulaan suku terakhir tahun itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


