BISNES

Pengeluaran Jaguar Land Rover terhenti di UK akibat serangan siber

Amanz 21/09/2025 | 01:00 MYT
Walaupun Jaguar Land Rover adalah jenama automotif yang sinonim dengan kemewahan, nasib syarikat itu agak terumbang ambing. Kelewatan menawarkan model EV antara punca jualan berkurangan tahun demi tahun. - Foto Amanz
PENGELUARAN kenderaan di bawah payung Jaguar Land Rover (JLR) terhenti di United Kingdom sejak tiga minggu lalu disebabkan serangan siber.

Serangan dikesan pada penghujung Ogos dengan operasi kilang dihentikan awal bulan ini bagi mengelakkan ia daripada tersebar.

Proses mengembalikan semula operasi masih sedang dijalankan dengan JLR mengatakan operasi akan terhenti sehingga 24 September.

JLR ialah pengeluar kenderaan terbesar di UK dengan kerajaan kini bekerjasama dengan syarikat untuk melihat impak penghentian operasi ke atas rantaian bekalan yang melibatkan lebih 100,000 pekerja.

Sementara tiga kilang pengeluaran JLR yang tidak boleh beroperasi menyebabkan sekitar 33,000 kakitangan kini diarahkan tidak masuk kerja.

Wujud kegusaran sekiranya operasi terus terjejas, syarikat perlu memberhentikan pekerja bagi mengurangkan kerugian.

Walaupun Jaguar Land Rover adalah jenama automotif yang sinonim dengan kemewahan, nasib syarikat kini agak terumbang ambing.

Ia dijual kepada Ford sebelum kemudiannya dijual pula kepada Tata Group.

Persaingan daripada syarikat China dan kelewatan menawarkan model EV menyebabkan jualan berkurangan tahun demi tahun.





#serangan siber #United Kingdom #Jaguar Land Rover #henti operasi