KUALA LUMPUR: Pengesahan Fitch Ratings (Fitch) mengenai penarafan kredit berdaulat Malaysia mencerminkan komitmen kerajaan terhadap reformasi fiskal di samping keupayaan negara untuk mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi serta daya tahan dalam menghadapi keadaan global yang lemah dan tidak menentu, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

MOF memaklumkan bahawa kerajaan mengalu-alukan pengesahan penarafan kredit berdaulat Malaysia pada BBB+ dengan tinjauan stabil oleh Fitch.

"Kerajaan komited untuk meneruskan konsolidasi fiskal dan membina semula ruang fiskal untuk kemampanan jangka panjang," jelas MOF dalam kenyataan pada Selasa.

Kementerian itu menjelaskan bahawa dalam jangka sederhana, kerajaan yakin dapat mengurangkan defisit fiskal daripada 5.6 peratus pada 2022 kepada anggaran 5.0 peratus pada 2023 dan seterusnya kepada 4.3 peratus pada 2024.

"Belanjawan 2024 mengekalkan pendirian dasar fiskal yang mengembang dengan peruntukan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM90 bilion bagi mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi serta memenuhi keperluan rakyat," tambahnya.

Menurut kementerian itu, berdasarkan kerangka Ekonomi MADANI, langkah konsolidasi fiskal akan dipercepat bagi mencapai sasaran defisit 3.0 peratus dan pembaharuan fiskal terus menjadi keutamaan kerajaan.

Perkara itu dizahirkan dalam Rang Undang-undang Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA) yang diluluskan oleh Parlimen bulan lepas, menurutnya.

MOF memaklumkan bahawa FRA akan menginstitusikan akauntabiliti dan ketelusan dalam kewangan awam untuk kemampanan fiskal jangka panjang dan kestabilan makroekonomi.

"Melangkah ke hadapan, kerajaan yakin bahawa inisiatif yang digariskan dalam rangka kerja Ekonomi MADANI dan pelaksanaan langkah mengikut pelbagai rancangan negara iaitu Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 akan terus merangsang pertumbuhan," jelas MOF.

Kementerian itu menjelaskan bahawa menurut Fitch, penarafan Malaysia diimbangi oleh keadaan ekonomi yang pelbagai dengan prospek pertumbuhan jangka sederhana yang kukuh berbanding hutang awam yang tinggi, asas hasil yang rendah relatif dengan perbelanjaan mengurus, dan keadaan politik yang mungkin menjejaskan pelaksanaan dasar dan reformasi jangka panjang.

Agensi penarafan itu juga menekankan bahawa pertumbuhan KDNK sebenar menyederhana kepada 4.0 peratus pada 2023 dan 4.2 peratus pada 2024 susulan kestabilan politik negara yang bertambah baik, jelasnya.

MOF menambah, Fitch menjangkakan permintaan global yang lemah dan sekatan perdagangan akan menjejaskan aktiviti eksport negara.

Namun begitu, Fitch juga menyatakan bahawa permintaan domestik yang berdaya tahan disokong oleh pertumbuhan dalam pendapatan dan aktiviti pelaburan, tambahnya.

Fitch turut menyatakan bahawa kedudukan akaun semasa negara terus mencatatkan lebihan selama lebih dua dekad dan menjangkakan akaun semasa kekal dengan lebihan dalam jangka sederhana, walaupun menghadapi cabaran luar.

Agensi penarafan itu turut menganggarkan akaun semasa akan mengecil kepada 2.6 peratus pada 2023 (2022: 3.0 peratus), namun Malaysia berada pada kedudukan yang baik serta berupaya untuk meraih manfaat daripada kepelbagaian rantaian bekalan global.

Menurut Fitch perkara itu didorong oleh sektor pembuatan yang kompetitif dan aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) yang ketara sejak pembukaan semula ekonomi pada 2022.

MOF menjelaskan Fitch juga menjangkakan defisit kerajaan Persekutuan akan menurun kepada 3.5 peratus pada 2025 disebabkan rasionalisasi subsidi dan pelancaran Cukai Minimum Global.

-- BERNAMA