Pengetahuan kewangan Islam masih rendah walaupun sikap, tingkah laku positif

Mohd Yusof (tengah) pada Majlis Pelancaran Laporan Kajian Literasi Kewangan Islam 2025 di Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) Kuala Lumpur, 4 Dis 2025. Turut sama, Mohamed Azam (dua, kiri). --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Masyarakat Malaysia masih kurang pemahaman mendalam dalam aspek teknikal dan prinsip yang berkaitan dengan kewangan Islam, menurut Kajian Indeks Literasi Kewangan Islam 2025.
Ringkasan AI
- Masyarakat Malaysia masih kurang pemahaman teknikal mengenai kewangan Islam, menurut Kajian Indeks Literasi Kewangan Islam 2025.
- Literasi kewangan Islam diukur melalui pengetahuan, tingkah laku, dan sikap, dengan skor 77.0 menunjukkan pemahaman asas yang kukuh dalam kalangan masyarakat.
- Responden cenderung memilih produk kewangan konvensional berbanding syariah, walaupun pembiayaan berlandaskan syariah mendapat sokongan yang tinggi.
Timbalan Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Prof Emeritus Datuk Dr Mohd Yusof Othman berkata usaha perlu dipergiatkan untuk meningkatkan tahap pengetahuan supaya kuat dari segi sikap dan tingkah laku dalam memahami kewangan Islam.
"Jurang ini menunjukkan masyarakat kita cenderung mengamalkan nilai-nilai Islam, tetapi kurang pemahaman mendalam terhadap aspek teknikal dan prinsip yang mendasari keputusan kewangan itu sendiri. Ini menjadi cabaran utama dalam agenda pendidikan kita," katanya ketika berucap di Majlis Literasi Kewangan Islam: Maqasid Menuntun Arah, Ilmu Menyokong Falah semalam.
Beliau turut menekankan kepentingan meningkatkan kefahaman dalam aspek perancangan kewangan jangka panjang seperti pengumpulan dan pengagihan harta.
"Kedua-duanya dengan skor 45.0 dan 55.0 menunjukkan betapa pentingnya tumpuan kita terhadap isu wasiat dan pewarisan bagi menjamin kelangsungan kesejahteraan kewangan keluarga," katanya.
Pada masa yang sama, laporan indeks literasi kewangan Islam turut memberikan pandangan penting mengenai pilihan produk kewangan dalam masyarakat.
Ini berikutan responden menunjukkan kecenderungan memilih produk konvensional berbanding produk berasaskan syariah, termasuk dalam penggunaan kad kredit (19 peratus konvensional berbanding 18 peratus syariah).
Kebanyakan responden mempunyai kecenderungan yang lebih besar terhadap pembiayaan berlandaskan syariah, sejajar dengan prinsip Islam yang menolak riba.
Dalam hal ini, pembiayaan sewa beli kereta patuh syariah pada 44 peratus dan pembiayaan peribadi syariah (40 peratus) mendahului pembiayaan konvensional untuk kedua-dua segmen itu (27 peratus dan 24 peratus).
Manakala pembiayaan rumah syariah juga lebih tinggi (29 peratus berbanding 21 peratus konvensional).
Bagaimanapun, dalam kategori pembiayaan pendidikan, perbezaannya lebih kecil, dengan 18 peratus memilih pembiayaan syariah berbanding 16 peratus konvensional.
Sementara itu, Ketua Pengarah IKIM Prof Madya Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil berkata literasi kewangan merupakan kemahiran penting untuk memperkasa individu dalam membuat keputusan termaklum berkaitan pengurusan kewangan.
"Ini termasuk memahami konsep asas kewangan seperti belanjawan, simpanan, pelaburan dan pengurusan hutang untuk mencapai kesejahteraan kewangan," katanya.
Beliau menambah umat Islam perlu menguasai konsep pengurusan kewangan berdasarkan prinsip syariah, bermula daripada bagaimana memperoleh harta, mengumpul dan mengembangkan harta, melindungi harta serta mengagihkannya dengan cara yang betul.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


