Penggabungan mega CIMB, MBSB dan RHB masih diteruskan

Charles Hector
Januari 13, 2015 23:28 MYT
Penggabungan mega CIMB, MBSB dan RHB Capital Bhd akan diteruskan. -
CIMB Group Holdings Bhd, Malaysia Building Society Bhd (MBSB) dan RHB Capital Bhd, semalam menjelaskan mereka masih lagi berunding mengenai cadangan penggabungan mega institusi kewangan berkenaan.
Malah, kata CIMB Group, ahli lembaga pengarahnya akan bermesyuarat esok bagi membincangkan cadangan itu.
"Sebarang pengumuman berkaitan perkembangan cadangan itu yang perlu didedahkan, akan hanya dibuat sewajarnya di Bursa Sekuriti," katanya.
Kenyataan itu dibuat menerusi jawapan serentak tiga pihak terlibat kepada Bursa Malaysia sebagai menjawab pertanyaan Bursa berikutan satu laporan media bahawa cadangan penggabungan mega itu "telah dibatalkan dan pengumuman rasmi mengenainya dijangka akan dibuat sebelum akhir minggu depan..."
Mengulangi kenyataan CIMB Group, MBSB berkata lembaga pengarahnya akan mengadakan satu mesyuarat biasa esok yang telah dijadualkan minggu lepas.
"Antara perkara yang akan dibincangkan adalah berkaitan cadangan penggabungan itu," katanya.
Sementara itu, RHB Capital, pula berkata, ia tidak dapat memberikan butiran lanjut berhubung status terkini cadangan penggabungan berkenaan kerana kesemua pihak terbabit masih dalam proses rundingan.
#Bursa Malaysia #CIMB Group Holdings Bhd #Malaysia Building Society Bhd (MBSB) dan RHB Capital Bhd #mega #penggabungan