Sebagai contoh, pelbagai strategi difikirkan syarikat Fana Couture bagi memastikan perniagaan pakaian yang beroperasi secara online tiga tahun lalu terus kukuh dan berkembang.
Pengasasnya, Faizal Nayan berkata antara pendekatan bersederhana dan amalan jual beli sistematik menjadi pegangan untuk terus bersaing dengan sihat. Katanya urusan yang teratur akan melancarkan proses jualan.
Selain mengutamakan keselesaan pelanggan, Fana Couture mahu memastikan setiap rekaan jubahnya mempunyai keunikan tersendiri. - Foto Astro AWANI
"Kami mempunyai laman web yang mudah untuk dilayari. Ia bukan sahaja memudahkan pelanggan, tetapi melancarkan perniagaan kami,"
"Sampai bila kita hendak uruskan jualan secara manual? Bagi saya menggunakan laman web sangat penting berbanding hanya mempromosikan melalui aplikasi Whataps. Kita mementing sistem," kata Faizal yang sebelum ini bekerja sebagai akauntan di sebuah syarikat swasta.
Mengusahakan bersama isterinya yang juga pernah bekerja sebagai akauntan. Kedua-duanya mengakui, bidang ini amat mencabar.
Isterinya Azyliana Ahmad, berkata prosedur yang teratur akan memudahkan pengusaha terutamanya yang turut bergantung jualan kepada online.
"Website yang menarik amat penting. Dari situ kita boleh kenal pasti produk apa yang dijual. Justeru, kita tidak perlu setiap hari membuat pengiraan stok yang sudah dijual,"
Selain mengutamakan keselesaan pelanggan, Azyliana yang juga merupakan wajah Fana Couture itu menegaskan amat penting untuk setiap rekaan jubah mempunyai keunikan tersendiri.
"Sekarang banyak fesyen jubah boleh didapati. Namun seperti Fana Couture sendiri, kami fokuskan kepada warna dan corak yang sederhana," ujarnya.
Pasangan itu menambah, mereka merancang untuk membuka lebih cawangan di dalam negara.
"Kami mungkin akan membuka cawangan di negeri-negeri selatan, seperti Johor," kata Faizal ketika ditemubual dalam segmen Industri Kecil Sederhana (IKS) Buletin Awani.
Terjual lebih seribu helai jubah sebulan, Faizal dan isterinya turut memasarkan rekaan mereka ke luar negara. Ini kerana selama tiga tahun pengalaman menjual barang secara online, pelanggan mereka turut datang dari Australia, Brunei dan Indonesia.
"Terbaru, jubah kami dibeli oleh pelanggan dari Hong Kong dan Perancis, dan itu merupakan satu petanda yang baik untuk Fana Couture," kata Faizal yang sering ke Vietnam dan China untuk mendapatkan kain-kain yang cantik dan berkualiti.