Peningkatan ringgit disokong pertumbuhan kukuh ekonomi - Johari

Bernama
Januari 11, 2018 11:03 MYT
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata ringgit juga disokong oleh prestasi kukuh eksport Malaysia yang meningkat 20.2 peratus daripada Jan-Nov 2017. - Gambar fail
Momentum meningkat ringgit ketika ini berbanding mata wang utama disokong oleh prestasi kukuh ekonomi domestik dan perdagangan negara, serta dikuatkan lagi dengan pemulihan harga minyak global.
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata ringgit juga disokong oleh prestasi kukuh eksport Malaysia yang meningkat 20.2 peratus daripada Jan-Nov 2017, berbanding tempoh yang sama pada 2016.
"Ekonomi global juga menunjukkan momentum pertumbuhan positif tahun ini dan diunjur meningkat antara 3.7-3.8 peratus tahun ini (Bank Dunia). Ini akan memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Daftar Pengurus Hartanah baharu, di sini, hari ini.
Johari berkata prestasi ringgit setakat ini dicerminkan oleh sentimen positif dalam ekonomi tempatan dan global, dengan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia dijangka berkembang antara 5.0-5.5 peratus tahun ini.
Sementara itu, mengenai rancangan untuk mengenakan cukai digital ke atas platform digital, beliau berkata kerajaan masih menunggu maklum balas daripada negara-negara Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) mengenai mekanisme yang sesuai bagi melaksanakan cukai tersebut.
"Kami sedang menilai mekanisme yang sesuai bagi cukai itu kerana hampir 20 peratus urus niaga di Malaysia kini dijalankan menerusi platform digital. Masalahnya adalah sebahagian daripada syarikat-syarikat itu bukan berpangkalan di Malaysia.
"Itulah sebabnya mengapa kami melibatkan negara-negara OECD bagi mendapatkan maklum balas mereka dan mempelajari lebih lanjut mengenai bagaimana mereka menangani syarikat-syarikat digital ini, dari segi mengenakan cukai ke atas mereka," katanya.
-- BERNAMA
#bank #cukai #ekonomi #JOHARI ABDUL GHANI #KDNK #kerajaan #ringgit