Cadangan penswastaan Malaysia Airlines (MAS) adalah penting bagi kelangsungan hidup syarikat penerbangan tersebut dan pemegang saham minoriti perlu menerima tawaran 27 sen sesaham yang ditawarkan kepada mereka pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang akan datang, kata penganalisis firma penyelidikan hari ini.
Ahmad Maghfur Usman, Penganalisis Pengangkutan Serantau di Institut Penyelidikan RHB, berkata: "Pada dasarnya, MAS kini semakin bermasalah, dan pemegang saham tidak akan mendapat semula pelaburan mereka.
Justeru, bagi pemegang saham minoriti, lebih baik menerima tawaran 27 sen sesaham itu daripada tangan kosong.
"Langkah penyelamatan bagi MAS pada ketika ini ialah penswastaan dan tanpanya, pilihan lain ialah mengisytiharkan muflis."
Beliau memberikan senario itu bagi pemegang saham minoriti menjelang EGM yang penting pada 6 Nov.
Ahmad Maghfur berkata jika EGM mengundi membantah penswastaan, Khazanah Nasional Bhd yang memiliki pegangan saham majoriti dalam MAS, tidak akan menyuntik dana, menjadikannya sukar bagi syarikat penerbangan itu untuk melaksanakan penstrukturan semula.
Khazanah pada Ogos telah mengumumkan satu pelan penstrukturan semula 12 Perkara membabitkan kos RM6 bilion untuk menyelamatkan MAS dan RM1.4 bilion akan dibayar kepada pemegang saham minoriti, jika mereka mengundi bagi tawaran 27 sen itu.
Ia turut memberi laluan bagi penyahsenaraian MAS daripada Bursa Malaysia.
"Muflis adalah sangat mencabar. Ini juga akan menjadi senario terburuk bagi pemegang saham minoriti yang akan memberi tekanan kepada harga saham, misalnya.
MAS tidak akan diniagakan pada paras yang sama.
"Justeru, saya menggesa pemegang saham minoriti, memastikan keutamaan mereka pada EGM itu," kata Ahmad Maghfur.
Beliau memberitahu Bernama bahawa tawaran 27 sen itu merupakan "harga yang menarik", dengan mempertimbangkan semua aspek, dan keadaan sukar MAS.
"Ia merupakan tawaran yang menarik. Bagi pemegang saham minoriti, ia merupakan tawaran jalan keluar yang menarik," katanya.
Beliau berkata penswastaan MAS akan memastikan peralihan yang lancar bagi penstrukturan semula, dan melindungi pelabur daripada terdedah kepada kerugian yang teruk.
"Ini adalah alasan yang baik kenapa pemegang saham minoriti perlu menerima tawaran tersebut," katanya.
Penyahsenaraian, Ahmad Maghfur berkata, merupakan langkah pertama yang diperlukan untuk penstrukturan semula, berbeza kes sebelum ini Petronas menswastakan Malaysian International Shipping Corporation (MISC).
"MISC merupakan landskap yang berbeza ketika itu yang berjaya melupuskan bahagian kapal kontena yang mengalami kerugian. Industri perkapalan pada ketika itu berada di bahagian bawah kitarannya dan hanya boleh meningkat," katanya ketika mengingati kembali langkah pada 1990-an.
Beliau berkata dalam kes MAS, keadaannya sangat berbeza berikutan syarikat penerbangan itu menghadapi persaingan yang sangat agresif.
Beliau turut menegaskan bahawa tiada asas bagi pemegang saham minoriti untuk menuntut lebih daripada 27 sen yang ditawarkan.
"Prospek MAS masih sangat mencabar. Sejak pengumuman mengenai penstrukturan semula, saya belum melihat sebarang perubahan yang bermakna dari segi perancangan.
"MAS masih menawarkan diskaun dan sebagainya dan ia akan menjadi senario yang buruk bagi tempoh dua suku akan datang dari segi pendapatan," kata Ahmad Maghfur.
Berdasarkan persaingan yang hebat dalam industri, beliau berkata pemegang saham minoriti perlu bersedia menghadapi keadaan yang sangat sukar dalam tempoh empat dan lima tahun akan datang tanpa penstrukturan semula, selain melahirkan keyakinan bahawa majoriti daripada mereka akan mengundi untuk menerima tawaran tersebut.
Beliau berkata apa yang sangat penting bagi MAS ialah kembali mencatat keuntungan, dan berhubung perkara ini, beliau menyambut baik pelan mengurangkan kakitangan sebanyak 30 peratus, walaupun ini akan melibatkan pampasan sebanyak RM1.2 bilion.
"Bagi MAS, jika ia berupaya untuk mengurangkan jumlah kakitangan sebanyak 30 peratus, anda melihat kepada penjimatan tahunan kira-kira RM700 juta.
"Berdasarkan perkara itu dan mengandaikan penswastaan ini berjaya, penjimatan faedah daripada hutang kepada penukaran ekuiti, turut akan meningkatkan pendapatan."
Ahmad Maghfur berkata bagi kakitangan MAS, ia merupakan tempoh peralihan yang sukar dengan kemungkinan mereka akan kehilangan pekerjaan, bagaimanapun Khazanah menyediakan pelan sokongan bagi kakitangan yang diberhentikan untuk diserapkan ke dalam peluang pekerjaan lain.
"Ini adalah baik berikutan mereka akan diberi pampasan yang sewajarnya.
Terdapat juga potensi bagi peluang pekerjaan lain, dan ia tidak semestinya dalam perniagaan syarikat penerbangan," katanya.
Bernama
Sun Nov 02 2014
Jika EGM mengundi membantah penswastaan, Khazanah Nasional Bhd yang memiliki pegangan saham majoriti dalam MAS, tidak akan menyuntik dana. - Foto Fail
Pegawai Imigresen mengaku tidak bersalah terima rasuah
Seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia mengaku tidak bersalah atas 10 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM7,600.
Saksi dakwa Ebit Lew hantar mesej lucah menjelang malam
Saksi kesembilan mendakwa mesej yang diterima daripada pendakwah terkenal, Ebit Lew berunsur lucah dan mengaibkan kehormatannya sebagai wanita.
Warga emas hidap masalah pendengaran boleh jejas rutin harian – Pakar
Kesan hilang sensitiviti deria pendengaran bagi seorang dewasa dan warga emas memberi kesan yang berbeza.
Tun Musa lancar buku Ku Li: Memoir 205, angkat perjalanan politik Tengku Razaleigh
Tun Musa Hitam melancarkan buku KU LI: Memoir 205 yang mengangkat kisah perjalanan politik lagenda politik, Tengku Razaleigh Hamzah pada Selasa.
Iran mulakan siasatan nahas helikopter Presiden Raisi
Iran memulakan siasatan berhubung nahas helikopter yang mengorbankan Presiden Ebrahim Raisi dan rombongannya dalam kejadian di barat laut negara itu.
AWANI Ringkas: Empat individu mengaku bersalah
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang hari di Astro AWANI menerusi AWANI Ringkas.
TPM Fadillah bincang pengurusan air lestari dengan Bank Dunia, UNECE di Bali
Fadillah mengadakan perbincangan dua hala dengan Bank Dunia dan United Nations Economic Commission for Europe (UNECE).
Polis terima laporan kes gaduh libat anak bekas Exco Pulau Pinang
Polis mengesahkan menerima laporan mengenai pergaduhan melibatkan beberapa individu di sebuah kafe di Jalan Sultan Ahmad Shah di sini pada 13 Mei lalu.
Konsert Dato' M.N45ir Cipta bakal gegar Axiata Arena 10 Ogos
Maestro muzik tersohor, Datuk M Nasir akan tampil dengan Konsert Dato' M.N45ir Cipta yang dijadualkan berlangsung pada 10 Ogos depan.
Lebih 569 tan bantuan dihantar melalui jeti sementara ke Gaza - AS
Lebih 569 tan metrik bantuan kemanusiaan telah dihantar melalui jeti sementara ke Gaza sejak ia mula beroperasi minggu lepas.
Penswastaan penting bagi kelangsungan hidup MAS, kata penganalisis
Cadangan penswastaan MAS adalah penting bagi kelangsungan hidup syarikat penerbangan tersebut dan pemegang saham minoriti perlu menerima tawaran 27 sen sesaham.