BISNES
Penurunan kadar tarif beri petunjuk AS sedia berunding - Ahli ekonomi

Keputusan AS untuk menurunkan tarif ke atas eksport Malaysia kepada 19 peratus daripada 25 peratus menunjukkan kesediaan AS untuk berunding. - Gambar fail/hiasan/REUTERS
KUALA LUMPUR: Keputusan Amerika Syarikat (AS) untuk menurunkan tarif ke atas eksport Malaysia kepada 19 peratus daripada 25 peratus menunjukkan kesediaan AS untuk berunding tetapi tarif disemak semula itu dijangka tetap mempunyai kesan ekonomi ketara kepada Malaysia dalam jangka pendek dan panjang, kata seorang pakar ekonomi.
Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan memberitahu Bernama bahawa tarif perdagangan pada kebiasaannya memberi kesan boleh diukur terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan baki fiskal 12 hingga 15 bulan selepas pelaksanaan.
Bagaimanapun, beliau berkata tahap impaknya bergantung kepada respons kerajaan dan syarikat, bagi kes Malaysia, kesannya mungkin dapat diatasi, memandangkan hala tuju dasar proaktif dan strategik digariskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
RMK13 dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan di Dewan Rakyat pada Khamis, menyediakan rangka kerja komprehensif untuk mengurangkan risiko geoekonomi khususnya berkaitan dengan fragmentasi perdagangan, penjajaran semula rantaian bekalan global dan anjakan teknologi."Sentimen pelabur juga telah respons dengan tenang. Tarif 19 peratus, lebih rendah daripada yang dikhuatiri pada awalnya telah membantu menstabilkan pasaran.
"Justeru, kami menjangkakan pelabur asing akan kembali sebagai pembeli bersih dalam pasaran modal Malaysia minggu ini," kata Mohd Sedek.
Oleh itu, beliau berkata FBM KLCI akan kekal di landasan betul untuk mencapai sasaran akhir 2025 sebanyak 1,650 mata, disokong oleh pusingan sektor, kejelasan dasar dan kedudukan serantau.
Pusingan sektor ialah strategi pelaburan apabila pelabur secara aktif mengalihkan pelaburan mereka antara pelbagai sektor pasaran saham.
Bagi jangka pendek, ahli ekonomi itu berkata tarif itu akan meningkatkan kos eksport Malaysia untuk barangan tidak dikecualikan seperti perabot, produk getah, derivatif minyak sawit dan mesin.
Sektor-sektor ini secara kolektif mewakili kira-kira 40 peratus daripada eksport Malaysia ke AS sebanyak AS$26 bilion, bersamaan dengan lebih 11 peratus daripada jumlah eksport.
"Pelarasan dalam keanjalan permintaan boleh mengurangkan margin keuntungan antara 10 dan 30 peratus dengan potensi kerugian eksport tahunan dianggarkan sebanyak AS$2 bilion.
"Ini mungkin memberi tekanan serta-merta kepada sektor utama seperti perabot, hampir 20 peratus daripada keluaran adalah untuk eksport ke AS. Seiring dengan itu, ketidaktentuan jangka pendek dalam pasaran ekuiti dijangka berlaku apabila pelabur menilai semula risiko dan prospek pendapatan," katanya.
Bagaimanapun, kedudukan daya saing Malaysia mungkin sebahagiannya diimbangi oleh pengecualian terhadap eksport semikonduktor yang menyumbang 7.9 peratus daripada jumlah eksport dan kadar tarif lebih rendah berbanding China dikenakan tarif sebanyak (34 peratus) dan Vietnam (20 peratus).
"Kelebihan ini memudahkan pengalihan perdagangan (trade diversion) kerana pengimport AS mahu mengelakkan kos lebih tinggi yang berpotensi mengubah aliran perdagangan memihak kepada Malaysia.
"Dalam konteks ini terdapat ruang untuk bersikap optimistik pada masa sama berhati-hati bahawa kerajaan sudah mempunyai rancangan kontingensi untuk mengurangkan kejutan tarif dan menghalangnya daripada merebak kepada perdagangan yang lebih meluas atau gangguan ekonomi," katanya.
Akhirnya, trajektori jangka panjang Malaysia akan bergantung kepada pelaksanaan berkesan pembaharuan Rancangan Malaysia Ke-13.
Jika dilaksanakan dengan konsisten, Malaysia akan muncul sebagai ekonomi lebih berdaya tahan dan signifikan di peringkat serantau dalam ASEAN.
Namun begitu, ketegangan perdagangan global yang berterusan dan ketidaktentuan geopolitik boleh menghadkan potensi pertumbuhan dengan pengembangan KDNK sebenar berkemungkinan mencapai di bawah ambang 5.0 peratus dalam jangka sederhana.
Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kesan negatif terhadap ekonomi Malaysia dijangka dapat dikurangkan sedikit.
Sehubungan itu, Bank Negara Malaysia (BNM) telah menyemak semula unjuran KDNK untuk 2025 kepada julat 4.0-4.8 peratus, turun daripada unjuran awal iaitu 4.5-5.5 peratus.
RMK-13 mengunjurkan pertumbuhan ekonomi untuk 2026 hingga 2030 pada sekitar 4.5-5.5 peratus, unjuran sesuai memandangkan iklim ekonomi global yang semakin berkembang.
"Oleh itu, adalah penting untuk mengekalkan hubungan dua hala yang kukuh dengan AS, pada masa sama meneroka peluang baharu dengan negara-negara di Eropah, negara anggota BRICS dan mengukuhkan kerjasama ekonomi dan diplomatik dengan ASEAN," katanya.
Mohd Afzanizam berkata usaha untuk meningkatkan produktiviti, membina kapasiti dan meningkatkan daya tahan ekonomi mesti dipergiatkan untuk menjaga kedaulatan ekonomi Malaysia.
Langkah-langkah berkenaan akan mengukuhkan keyakinan pelabur dan perniagaan, disokong oleh dasar pragmatik dan respons proaktif kerajaan terhadap cabaran yang muncul, katanya.
"Bagaimanapun, tarif import 19 peratus dijangka memberi kesan kepada kuasa beli pengguna AS.
"Ini mungkin..seterusnya, melemahkan momentum ekonomi di AS, ekonomi terbesar dunia yang menimbulkan potensi risiko kepada pertumbuhan ekonomi global untuk beberapa tahun akan datang," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami