Apa yang Anda Dapat daripada Bajet 2026? STR, SARA, Bantuan Ibu Tunggal, Pelajar & Banyak Lagi – Semak Analisis Penuh di Sini!
BISNES

Penyasaran subsidi jimat RM15.5 bilion setahun, tingkat kecekapan perbelanjaan negara

Bernama 12/10/2025 | 01:10 MYT
Langkah penyasaran subsidi itu membolehkan kerajaan mengelak daripada menaikkan kadar cukai sedia ada atau memperkenalkan cukai baharu bagi meningkatkan hasil negara. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Penjimatan dana sebanyak RM15.5 bilion setahun hasil langkah penyasaran subsidi sepertimana dimaklumkan dalam Belanjawan 2026, jelas mencerminkan komitmen kerajaan dalam merealisasikan agenda pemerkasaan ekonomi negara, selaras dengan perancangan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Pengarah Program MBA Putra Business School, Universiti Putra Malaysia, Prof Dr Ahmed Razman Abd Latiff berkata, langkah itu jelas memberikan manfaat secara menyeluruh kepada rakyat bukan hanya golongan B40, malah M40 dan ke atas melalui pelbagai bentuk bantuan penyasaran subsidi.

"Penyasaran subsidi ini memang kita jangkakan dapat menjimatkan dana kerajaan untuk memastikan setiap hasil itu diperuntukkan terus kepada rakyat.

"Hal ini kerana isu utama sebelum ini ialah hasil negara meningkat, tetapi sebahagian daripada hasil itu pergi ke tangan yang tidak sepatutnya, contohnya melalui ketirisan, pembaziran, rasuah dan sebagainya," katanya kepada Bernama.

Ahmed Razman berkata, langkah penyasaran subsidi itu membolehkan kerajaan mengelak daripada menaikkan kadar cukai sedia ada atau memperkenalkan cukai baharu bagi meningkatkan hasil negara.

"Perkara ini bagus kerana rakyat tidak terbeban dengan cukai tambahan dan pada masa yang sama dapat menikmati hasil penjimatan rasionalisasi subsidi," katanya.

Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026 bertemakan "Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat" di Dewan Rakyat berkata, keseluruhan penyasaran subsidi menjimatkan dana negara kira-kira RM15.5 bilion setahun.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, menerusi setiap penjimatan, lebih banyak dana untuk kebajikan, kos sara hidup, dan pelaburan prasarana rakyat yang berkualiti akan dapat diberikan.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, Belanjawan 2026 telah menyalurkan RM1.1 bilion kepada bank berkenaan untuk menyokong usahawan mengembangkan operasi mereka, di samping memajukan sektor automasi dan mekanisasi.

"Pembiayaan yang besar ini bukan hanya untuk memperkasakan pemain industri, tetapi juga meningkatkan produktiviti dan memperkukuh sektor pertanian sebagai tonggak utama sekuriti makanan negara," katanya.

Beliau berkata, Agrobank kekal komited untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi memajukan sektor kritikal ini, sambil menegaskan bahawa misi bank berkenaan bukan sekadar menyediakan pembiayaan semata-mata.

"Kami berdedikasi untuk menyokong mata pencarian dan membina masa depan yang mampan. Belanjawan 2026 bukan sekadar angka, malah merangkumi harapan dan peluang kepada komuniti petani di seluruh sektor agromakanan," katanya.

-- BERNAMA


#Belanjawan 2026 #penyasaran subsidi #RMK13 #ekonomi negara