Insiden Pelajar Perempuan Maut Ditikam di Sekolah - Ikuti info terkini di sini
BISNES

Penyusutan hutang, reformasi fiskal berpotensi sokong penarafan berdaulat Malaysia - Fitch

Bernama 14/10/2025 | 20:15 MYT
Menurut Fitch Ratings, selain itu, strategi penyatuan fiskal yang teguh serta prospek pertumbuhan ekonomi yang lebih baik turut mengukuhkan lagi jangkaan ini. - Gambar fail Reuters
KUALA LUMPUR: Jangkaan terhadap trend penyusutan hutang kerajaan secara menyeluruh dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang menghampiri paras median negara yang mempunyai penarafan kredit setaraf, berpotensi meningkatkan penarafan berdaulat Malaysia pada 'BBB+.'

Menurut Fitch Ratings, selain itu, strategi penyatuan fiskal yang teguh serta prospek pertumbuhan ekonomi yang lebih baik turut mengukuhkan lagi jangkaan ini.

Hutang kerajaan semakin berkurangan secara beransur-ansur tetapi masih melepasi paras median bagi negara berdaulat kategori 'BBB' yang diberi penarafan oleh Fitch, iaitu sebanyak 58 peratus pada 2025, katanya dalam nota penyelidikan pada Selasa.

Pengarah Bersekutu dan Penganalisis Kedaulatan Fitch Ratings, Kathleen Chen berkata, belanjawan terkini mengukuhkan lagi komitmen terhadap konsolidasi fiskal secara berperingkat, dengan sasaran defisit sebanyak 3.5 peratus daripada KDNK pada 2026 -- lebih rendah daripada unjuran terdahulu agensi berkenaan iaitu 3.6 peratus.

"Belanjawan berkenaan mengulangi sasaran jangka sederhana untuk mengurangkan defisit kepada tiga peratus daripada KDNK walaupun tiada tempoh masa khusus dinyatakan.

"Dalam kerangka fiskal jangka sederhana, kerajaan menjangka purata defisit sebanyak 3.2 peratus daripada KDNK bagi 2026 hingga 2028, yang memberi gambaran defisit kira-kira tiga peratus menjelang 2028 sekiranya langkah konsolidasi diteruskan pada kadar semasa," katanya dalam kenyataan.

Menurut Chen, kerajaan terus melaksanakan rasionalisasi subsidi dengan anggaran penjimatan tahunan sebanyak RM15.5 bilion (kira-kira 0.8 peratus daripada KDNK 2025).

"Sebahagian besar daripada penjimatan ini akan disalurkan kepada kebajikan masyarakat.Jumlah perbelanjaan diunjurkan meningkat sebanyak 1.7 peratus.

"Sasaran subsidi petrol RON95 yang diumumkan baru-baru ini dijangka menghasilkan penjimatan yang lebih kecil daripada subsidi diesel yang disasarkan," katanya.

-- BERNAMA




#KDNK #RON95 #Fitch Ratings #sasaran subsidi