BUSINESS
Perang tarif: Malaysia tidak kenakan tarif balas, runding pihak berkuasa AS cari penyelesaian
MITI memandang serius tindakan AS dan kini giat berunding dengan pihak berkuasa negara itu bagi mencari penyelesaian. - Foto MITI
KUALA LUMPUR: Malaysia tidak bercadang mengenakan tarif balas sebagai langkah mempertahankan prinsip perdagangan bebas dan adil, susulan tindakan Amerika Syarikat (AS) menaikkan tarif sebanyak 10 peratus ke atas eksport Malaysia ke negara itu serta pengenalan tarif timbal balik.
Bagaimanapun, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memandang serius tindakan AS dan kini giat berunding dengan pihak berkuasa negara itu bagi mencari penyelesaian.
"Tarif yang dikenakan AS bukan sahaja memberi kesan kepada Malaysia, tetapi juga banyak negara lain yang boleh memberi implikasi besar terhadap perdagangan dan pertumbuhan global.
"Bagi menangani cabaran ini, Pusat Komando Geoekonomi Nasional (NGCC) yang baru sahaja diluluskan Kabinet akan menilai kesan tarif tersebut serta mempertimbangkan strategi menyeluruh bagi mengurangkan impak kepada ekonomi dan industri negara.
"NGCC, yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dengan MITI sebagai sekretariat, turut melibatkan wakil kementerian dan agensi utama.
"Di peringkat ASEAN, Mesyuarat pertama Pasukan Petugas Geoekonomi ASEAN akan diadakan dalam masa terdekat untuk mengukuhkan kerjasama serantau," kata MITI pada Khamis.
Dalam pada itu, MITI memaklumkan, Malaysia akan memanfaatkan Perjanjian Rangka Kerja Perdagangan dan Pelaburan (TIFA) bagi mencapai keuntungan timbal balik.
Katanya, ini termasuk merundingkan Perjanjian Perlindungan Teknologi dengan AS untuk memperkukuhkan kerjasama teknologi tinggi dalam sektor semikonduktor, aeroangkasa dan ekonomi digital.
"Menurut Biro Analisis Ekonomi AS, Malaysia menduduki tempat ke-15 dalam senarai AS dengan lebihan dagangan sebanyak AS$24.8 bilion pada 2024.
"Meskipun terdapat defisit perdagangan barangan, AS menikmati lebihan perdagangan dalam sektor perkhidmatan dengan Malaysia, mencerminkan hubungan ekonomi dua hala yang kukuh.
MITI dalam pada itu turut mengakui bahawa kenaikan tarif oleh Presiden Donald Trump memberikan cabaran besar terhadap dinamik perdagangan global.
Kementerian itu memaklumkan, walaupun menghormati keputusan tersebut, Malaysia menekankan kepentingan hubungan ekonomi yang konstruktif dan saling menguntungkan.
"Untuk mengurangkan impak tarif, Malaysia merancang memperluas pasaran eksport dengan memberi keutamaan kepada rantau yang berkembang pesat serta memanfaatkan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) sedia ada seperti CPTPP dan RCEP.
"Selain itu, Malaysia akan memperkukuhkan rantaian bekalan dan melaksanakan dasar industri utama seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Peta Jalan Peralihan Tenaga Negara (NETR)," katanya.
MITI berkata, Kerajaan juga giat berunding dengan industri yang terjejas serta meneroka program sokongan bagi membantu syarikat menyesuaikan diri dengan perubahan ini.
MITI turut menzahirkan komitmen terhadap dialog terbuka dan kerjasama dalam menyelesaikan pertikaian perdagangan demi kesejahteraan bersama.
"Malaysia menghadapi cabaran ini dengan kedudukan yang kukuh dan persiapan rapi.
"Asas ekonomi negara tetap teguh, sementara permintaan domestik yang merupakan pemacu utama pertumbuhan kekal stabil.
"MITI optimis bahawa ekonomi Malaysia akan terus berdaya tahan dalam menghadapi cabaran global ini," katanya.