KUALA LUMPUR: Sektor penerbangan dijangka meraih manfaat terutama dengan menjelangnya pilihan raya umum ke-15 (PRU15) meskipun impaknya kurang ketara berikutan jumlah pengundi yang kemungkinan lebih rendah berbanding sebelum ini, demikian menurut Maybank Investment Bank (IB).

Penganalisisnya, Yin Shao Yang berkata, dari segi sejarah, trafik penumpang cenderung meningkat semasa pilihan raya apabila pengundi kembali ke kawasan mengundi masing-masing untuk mengundi, terutamanya pengundi yang kawasan mengundinya merentasi Laut China Selatan di Sabah dan Sarawak.

Katanya, ia dapat dilihat apabila trafik penumpang domestik Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) meningkat 18% pada 2013 (PRU13) dan 3% pada 2018 (PRU14).

Capital A Bhd. pula menyaksikan trafik penumpang bagi operasi AirAsia di Malaysia meningkat 11% dalam kedua-dua PRU13 dan PRU14.

"Kami menjangkakan PRU15 akan memberi impak jangka panjang yang positif kepada trafik penumpang dan kesan jangka pendek yang positif kepada tambang kapal terbang.

"Ini akan menyaksikan Capital A akan lebih menguntungkan dengan ketibaan pilihan raya berbanding MAHB," katanya dalam nota kajian pada Jumaat.

Minggu lalu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Parlimen dibubarkan berkuat kuasa 10 Oktober 2022 selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memberi laluan kepada PRU15.

Perdana Menteri membuat pengumuman itu setelah kerajaan selesai membentangkan Bajet 2023 pada 7 Oktober lalu yang menyaksikan peruntukan sebanyak RM372.3 bilion.

Pembubaran kira-kira sembilan bulan sebelum penggal Parlimen Ke-14 berakhir pada 15 Julai 2023, sekali gus menjawab segala teka-teki serta spekulasi berlegar sejak beberapa minggu lalu mengenai PRU15.

Bagaimanapun, Shao Yang berkata, kesan PRU15 terhadap sektor penerbangan Malaysia mungkin kurang berkesan kali ini terutamanya peratusan keluar mengundi mungkin tidak setinggi ketika PRU13 (80%) dan PRU14 (76%).

"Ini berikutan beberapa negeri belum membuat keputusan untuk membubarkan DUN, antaranya, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu manakala Sabah/Sarawak telah mengadakan pilihan raya negeri masing-masing pada September 2020/Disember 2021.

"Selain faktor ini, pengundi juga mungkin terbatas untuk terbang ke kawasan mengundi mereka kerana tambang penerbangan yang tinggi ketika ini," jelasnya.

Namun, secara keseluruhan Maybank IB mengekalkan pandangan 'positif' terhadap sektor penerbangan dengan saranan 'beli' terhadap MAHB dan Capital A.

"Apa yang menarik minat kami lagi ialah peningkatan trafik penumpang pada masa lalu nampaknya berstruktur.

"Dalam erti kata lain, trafik penumpang tidak meredakan pasca pilihan raya tetapi stabil malah terus berkembang," katanya. - DagangNews.com