[TERKINI] Peguam Negara Arah Kubur Zara Qairina Digali Semula – Ikuti Perkembangan Di Sini
BISNES

Perdagangan borong, runcit cecah RM153.0 bilion pada Jun 2025 - DOSM

Bernama 08/08/2025 | 08:10 MYT
Mohd Uzir berkata pertumbuhan itu disumbangkan oleh prestasi positif dalam subsektor perdagangan runcit dan perdagangan borong. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Perdagangan borong dan runcit merekodkan pertumbuhan yang stabil sebanyak 4.8 peratus pada Jun 2025, dengan jualan pada RM153.0 bilion, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).


Ringkasan AI
  • Perdagangan borong dan runcit mencatatkan pertumbuhan stabil sebanyak 4.8 peratus dengan jualan keseluruhan RM153.0 bilion, disumbang oleh peningkatan dalam subsektor perdagangan runcit (RM67.5 bilion) dan borong (RM68.3 bilion), dipacu oleh aktiviti perayaan dan cuti sekolah.
  • Transaksi pembayaran digital menunjukkan peningkatan ketara, termasuk wang elektronik (RM21.7 bilion, naik 71.3%), RPP masa sebenar (RM277.2 bilion), FPX (RM31.2 bilion, naik 11.4%), kad kredit (RM18.1 bilion) dan kad debit (RM13.2 bilion, naik 3.9%).
  • Jualan runcit di kedai bukan pengkhususan dan pengkhususan masing-masing meningkat kepada RM26.2 bilion dan RM14.3 bilion, manakala jualan borong makanan dan minuman serta barangan isi rumah turut mencatat pertumbuhan kukuh, mencerminkan penggunaan domestik yang berterusan.


Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata pertumbuhan itu disumbangkan oleh prestasi positif dalam subsektor perdagangan runcit dan perdagangan borong.

"Subsektor perdagangan runcit merekodkan jualan RM67.5 bilion dalam jualan, mencatatkan peningkatan tahun ke tahun sebanyak 5.4 peratus, manakala subsektor perdagangan borong merekodkan jualan RM68.3 bilion, naik 5.2 peratus tahun ke tahun.

"Perkembangan berterusan dalam semua subsektor itu mencerminkan aktiviti penggunaan domestik yang berterusan, yang disokong oleh sambutan perayaan seperti Aidiladha dan cuti sekolah pertengahan tahun," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Uzir berkata Malaysia terus merekodkan peningkatan ketara dalam transaksi pembayaran digital pada Jun.

"Transaksi wang elektronik melonjak 71.3 peratus tahun ke tahun kepada RM21.7 bilion, mencerminkan penggunaan meluas pembayaran mikro tanpa tunai.

"Transaksi Platform Pembayaran Runcit (RPP) masa sebenar berjumlah RM277.2 bilion, menunjukkan kecenderungan yang semakin meningkat terhadap pemindahan dana secara pantas dan mudah," katanya.

Selain itu, transaksi Pertukaran Proses Kewangan (FPX) meningkat 11.4 peratus kepada RM31.2 bilion, disokong oleh aktiviti perbankan dalam talian yang lebih tinggi, manakala perbelanjaan kad kredit kekal stabil pada RM18.1 bilion, dan transaksi kad debit berkembang pada 3.9 peratus kepada RM13.2 bilion.

Menurut Ketua Perangkawan, jualan runcit di kedai bukan pengkhususan merekodkan peningkatan 5.7 peratus tahun ke tahun kepada RM26.2 bilion, didorong oleh jualan lebih tinggi di pasaraya, pasar mini dan kedai serbaneka.

Jualan runcit di kedai pengkhususan turut mencatatkan prestasi positif, meningkat 5.9 peratus tahun ke tahun kepada RM14.3 bilion, didorong oleh peningkatan jualan kosmetik, pakaian, barang kemas dan barang optikal.

Mengulas mengenai prestasi subsektor perdagangan runcit, Mohd Uzir berkata jualan borong makanan dan minuman serta tembakau merekodkan peningkatan tahun ke tahun 6.7 peratus untuk mencecah RM13.9 bilion.

Pertumbuhan ini terutamanya disokong oleh jualan borong daging, ayam, telur, beras, bijirin, tepung, gula dan produk bakeri yang lebih tinggi.

Jualan borong barangan isi rumah turut merekodkan pertumbuhan yang kukuh, berkembang pada 5.3 peratus kepada RM14.4 bilion, disokong oleh jualan barangan elektrik dan elektronik yang lebih tinggi, selain pakaian, perabot dan peralatan lampu.

-- BERNAMA




#DoSM #pertumbuhan ekonomi Malaysia #perdagangan borong #runcit