BISNES
Perdagangan digital jadi keutamaan UK dalam hubungan dengan ASEAN - Liz Lloyd

Lloyd bercakap pada Perundingan AEM-UK kali kelima sempena Mesyuarat AEM ke-57 dan mesyuarat berkaitan di MITEC, Kuala Lumpur, 25 Sept 2025. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: United Kingdom (UK) menjadikan perdagangan digital sebagai keutamaan paling penting dalam penglibatannya dengan ASEAN di samping sebahagian strategi ekonomi globalnya.
Timbalan Setiausaha Parlimen UK di Jabatan Sains, Inovasi dan Teknologi, Liz Lloyd berkata UK melakar kemajuan dua hala dengan negara anggota ASEAN melalui Perjanjian Ekonomi Digital dengan Singapura dan sedang meneroka potensi perjanjian perdagangan digital dengan Malaysia dan Thailand.
"Dalam ruang digital, yang menjadi minat utama saya, kami terus bekerjasama rapat untuk memajukan perdagangan digital melalui Program Inovasi Digital kami," katanya ketika berucap pada Perundingan Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM)-UK kali kelima di sini, pada Khamis.
Beliau berkata kemajuan inisiatif dua hala dan serantau itu termasuk Program Inovasi Digital UK dan Perjanjian Ekonomi Digital dengan Singapura, selain perbincangan awal dengan Malaysia dan Thailand.Semua usaha itu menunjukkan aspirasi bersama untuk mengelakkan halangan dalam perdagangan digital serta menggalakkan ekonomi digital yang lebih lancar, terjamin dan inklusif, katanya.
Lloyd turut mengulangi sokongan UK kepada Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA), yang disifatkannya sebagai langkah penting untuk membolehkan eksport serta langkah memanfaatkan potensi pertumbuhan di seluruh rantau ini.
Beliau berkata perkongsian dialog ASEAN-UK telah mengukuhkan lagi hubungan dengan UK yang telah berjaya melaksanakan lebih 95 peratus komitmen yang ditetapkan dalam Pelan Tindakan 2022 UK dalam tempoh tiga tahun.
"Ini termasuk 45 daripada 54 komitmen yang secara khusus memberi tumpuan kepada ekonomi dan perdagangan, yang menunjukkan aspirasi bersama kita terhadap kerjasama ekonomi," katanya.
Beliau berkata UK sedang menyelaraskan pelan kerja ekonomi yang diperbaharui dengan Visi ASEAN 2045 dan strategi perdagangan serta perindustrian baharunya, memastikan kerjasama masa hadapan adalah bercita-cita tinggi dan bersifat praktikal.
Lloyd berkata penyertaan London dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) pada Disember 2024 sebagai satu pencapaian penting dalam mengukuhkan kedudukan UK dalam sistem perdagangan Indo-Pasifik.
Beliau berkata UK mengalu-alukan kenyataan kalangan menteri CPTPP pada Mei lepas, yang menetapkan asas untuk mewujudkan Dialog Perdagangan dan Pelaburan CPTPP-ASEAN secara rasmi.
"Kami melihat dialog yang dicadangkan ini sebagai satu peluang berharga untuk menggalakkan penyelarasan yang lebih baik, merangsang pertumbuhan inklusif untuk rakyat dan perniagaan, serta mengukuhkan integrasi ekonomi serantau.
"Kami gembira melihat kemajuan terkini yang dicapai dalam menggerakkan inisiatif ini, dan kami akan terus menyumbang secara aktif kepada perkembangannya," katanya.
Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata ASEAN dan UK komited untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan dua hala serta mempercepat pertumbuhan kedua-dua ekonomi.
"Pada masa sama, ekonomi digital, serta kemampanan dan pertumbuhan hijau telah menjadi teras kepada agenda pembangunan ekonomi kita.
"Kami berpuas hati dengan momentum hubungan ekonomi kita setakat ini, dan, jika dilihat kepada angka, ia menunjukkan peningkatan yang baik dari segi perdagangan dan pelaburan," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami