Skip to main content

Bisnes

Perdagangan dua hala ASEAN-India cecah AS$128 bilion

Asean, India
Angka terkini yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan dan Industri India menyerlahkan integrasi ekonomi yang semakin berkembang antara India dan Asia Tenggara. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Perdagangan dua hala antara India dan ASEAN mencapai AS$128 bilion bagi tahun kewangan 2025-2026.

TV BRICS melaporkan Kementerian Perdagangan dan Industri India sebagai berkata, ASEAN terus berada dalam kedudukan antara rakan dagang paling penting bagi negara itu, dengan menyumbang kira-kira 11 peratus daripada keseluruhan jumlah dagangan global India.

Angka terkini yang dikeluarkan oleh kementerian itu sempena mesyuarat Jawatankuasa Bersama Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN-India (AITIGA) Ke-13 dan mesyuarat teknikal berkaitan, menyerlahkan integrasi ekonomi yang semakin berkembang antara India dan Asia Tenggara ketika kedua-dua pihak berusaha memperkukuh rantaian bekalan yang berdaya tahan serta memacu pertumbuhan serantau.

Mesyuarat yang berlangsung dari 6 hingga 10 Julai di New Delhi itu memberi tumpuan kepada usaha menyemak semula dan memodenkan perjanjian perdagangan sedia ada agar ia lebih responsif terhadap keperluan perniagaan serta pelaburan semasa.

Mesyuarat Jawatankuasa Bersama itu dipengerusikan bersama oleh  Setiausaha Tambahan Jabatan Perdagangan India, Shri Nitin Kumar Yadav dan Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Mastura Ahmad Mustafa.

Delegasi dari kesemua negara anggota ASEAN - Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam - menyertai mesyuarat berkenaan.

Laporan itu menambah bahawa para pegawai menggesa agar kemajuan yang lebih pantas dicapai bagi bab-bab yang masih belum diselesaikan, selain bersetuju dengan objektif terikat masa demi mengekalkan momentum ke arah melengkapkan semakan semula itu.

-- BERNAMA 

 

Must Watch Video

Advertisement