BISNES
Perdagangan perkhidmatan Malaysia meningkat 14.6 peratus kepada RM497.4 bilion
Jumlah perdagangan perkhidmatan Malaysia meningkat 14.6% kepada RM497.4 bilion pada 2024, menyumbang 25.8% kepada KDNK negara. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Jumlah perdagangan perkhidmatan Malaysia meningkat sebanyak 14.6 peratus kepada RM497.4 bilion tahun lepas berbanding RM434.0 bilion yang dicatatkan pada 2023, menyumbang 25.8 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada harga semasa.
Ringkasan AI
- Jumlah perdagangan perkhidmatan Malaysia meningkat 14.6% kepada RM497.4 bilion pada 2024, menyumbang 25.8% kepada KDNK negara.
- Eksport perkhidmatan melonjak 24.6% kepada RM242.9 bilion, manakala import naik 6.5% kepada RM254.5 bilion, menyebabkan defisit menyusut ketara kepada RM11.7 bilion.
- Asia kekal sebagai rakan dagang utama, dengan Singapura, Amerika Syarikat dan China menjadi destinasi dan sumber utama bagi eksport dan import perkhidmatan.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melalui satu kenyataan hari ini berkata eksport perkhidmatan menokok 24.6 peratus kepada RM242.9 bilion daripada RM195.0 bilion pada tahun sebelumnya.
Begitu juga, import perkhidmatan naik sebanyak 6.5 peratus kepada RM254.5 bilion berbanding RM239.0 bilion yang disaksikan pada 2023.
"Memandangkan eksport perkhidmatan melonjak lebih cepat daripada import, defisit menyempit dengan ketara daripada RM44.0 bilion kepada RM11.7 bilion," tambahnya.
DOSM berkata Asia terus menjadi destinasi utama bagi eksport perkhidmatan Malaysia, yang membentuk RM164.0 bilion atau 67.5 peratus daripada jumlah perkhidmatan.
Singapura, Amerika Syarikat (AS) dan China adalah tiga destinasi utama untuk eksport perkhidmatan Malaysia.
Asia juga menjadi sumber utama import dengan bahagian 58.6 peratus atau RM149.0 bilion.
Sumber utama import perkhidmatan adalah dari Amerika Syarikat, Singapura dan China.
-- BERNAMA