BISNES

Perdana Menteri sambut baik penilaian IMF, menegaskan keutamaan pengurusan ekonomi berhemat

Bernama 19/12/2025 | 15:45 MYT
Anwar berkata kerajaan akan terus memastikan kestabilan ekonomi bukan sahaja diuruskan secara berhemat tetapi juga dirasai oleh rakyat melalui peluang pekerjaan yang selamat dan adil serta keyakinan berterusan pada masa depan. - Gmambar fail/IMF
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik penilaian Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) terhadap prestasi ekonomi Malaysia dengan menekankan bahawa keutamaan kerajaan tetap memastikan kestabilan ekonomi diuruskan secara bertanggungjawab.


Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyambut baik penilaian IMF terhadap prestasi ekonomi Malaysia, menegaskan keutamaan kerajaan dalam memastikan kestabilan ekonomi diurus secara bertanggungjawab. Kerajaan komited untuk memastikan kestabilan ekonomi dirasai oleh rakyat melalui peluang pekerjaan yang selamat dan adil serta keyakinan terhadap masa depan.
  • Ketua Misi IMF, Masahiro Nozaki, menyatakan Malaysia menunjukkan daya tahan ketara dalam menghadapi ketegangan perdagangan global dan ketidakpastian dasar. Ekonomi negara berkembang pada kadar sihat disokong oleh penggunaan dan pelaburan domestik kukuh, pertumbuhan pekerjaan stabil, dan sektor teknologi global yang meningkat.
  • Daya tahan ekonomi Malaysia dijangka berterusan dengan pertumbuhan yang sedikit berkurang dari 4.6 peratus pada 2025 kepada 4.3 peratus pada 2026, disebabkan oleh kesan tarif Amerika Syarikat yang lebih tinggi. IMF menjangka pertumbuhan negara akan berkekalan disokong oleh permintaan domestik yang kukuh.


Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan akan terus memastikan kestabilan ekonomi bukan sahaja diuruskan secara berhemat tetapi juga dirasai oleh rakyat melalui peluang pekerjaan yang selamat dan adil serta keyakinan berterusan pada masa depan.

"Kerajaan MADANI akan terus mengurus kewangan awam secara berhemat dan mempercepatkan pembaharuan di bawah Rancangan Malaysia ke-13, supaya pertumbuhan yang kita bina benar-benar kukuh, berdaya tahan dan memberikan manfaat bermakna kepada semua rakyat Malaysia," katanya dalam catatan di media sosial.

Terdahulu, hari ini, Ketua Misi Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) Masahiro Nozaki berkata Malaysia telah menunjukkan daya tahan ketara terhadap ketegangan perdagangan global dan ketidakpastian dasar dengan ekonomi berkembang pada kadar yang sihat tahun ini, disokong oleh penggunaan dan pelaburan domestik kukuh, pertumbuhan pekerjaan stabil dan kitaran peningkatan sektor teknologi global.

"Prestasi kukuh ini sebahagiannya mencerminkan dasar ekonomi yang kukuh, pihak berkuasa telah mengekalkan dasar makroekonomi dan kewangan yang berhemat," kata Nozaki selepas mengadakan perundingan dengan pihak berkuasa Malaysia dan pihak berkepentingan lain.

Daya tahan ekonomi Malaysia dijangka berterusan dalam jangka masa terdekat, disokong oleh permintaan domestik yang kukuh dengan kakitangan IMF mengunjurkan pertumbuhan akan berkurangan sedikit daripada 4.6 peratus pada 2025 kepada 4.3 peratus pada 2026, kebanyakannya mencerminkan kesan tarif Amerika Syarikat lebih tinggi ke atas negara.

-- BERNAMA

#media sosial #Tabung Kewangan Antarabangsa #teknologi global #pelaburan domestik