Perdana Menteri tinjau persiapan Bajet 2023

Bernama
Oktober 6, 2022 06:30 MYT
Ismail Sabri Yaakob (dua, kiri) diiringi Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz (dua, kanan) ketika hadir meninjau persiapan penyediaan Bajet 2023 di Kementerian Kewangan, hari ini. - Gambar BERNAMA
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini meninjau persiapan penyediaan Bajet 2023 di Kementerian Kewangan, di sini.
Beliau yang tiba di pekarangan kompleks berkenaan pada pukul 12 tengah hari, disambut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Turut hadir dua Timbalan Menteri Kewangan iaitu Datuk Mohd Shahar Abdullah dan Datuk Yamani Hafez Musa.
Ismail Sabri kemudiannya bertemu dan beramah mesra dengan pegawai serta petugas Kementerian Kewangan yang terbabit dalam penyediaan Bajet 2023, sebelum meninjau ke bilik operasi penyediaan bajet.
Bajet 2023 dijadual dibentangkan oleh Tengku Zafrul di Dewan Rakyat pada 4 petang esok. - BERNAMA
#Bajet 2023 #ismail sabri yaakob #Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz #Kementerian Kewangan