BISNES

Perjanjian perdagangan timbal balas Malaysia-AS jamin kepentingan, keselamatan ekonomi negara - Tengku Zafrul

Bernama 29/10/2025 | 07:11 MYT
Tengku Zafrul berkata, AS merupakan kuasa ekonomi terbesar dunia, ia adalah pasaran eksport terbesar Malaysia dengan jumlah perdagangan Malaysia-AS pada tahun 2024 adalah RM325 bilion, eksport Malaysia ke AS berjumlah RM198.65 bilion. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika Syarikat (AS) mengandungi klausa yang menjamin kedaulatan negara, pelaksanaannya adalah berdasarkan kepentingan dan keselamatan ekonomi negara serta undang-undang dan peraturan domestik.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata menerusi perjanjian itu, AS bersetuju supaya sebarang langkah yang mahu diambil pihaknya dalam menangani isu ketidakseimbangan perdagangan harus melalui mekanisma rundingan bagi mencari kesefahaman bersama.

"Sebagai contoh, Artikel 5.1.1 tidak sepatutnya dilihat sebagai Malaysia secara membuta tuli mengikut apa jua sekatan AS yang dikenakan ke atas negara lain.

"Sebaliknya, peruntukan tersebut, melalui frasa 'mengikut undang-undang dan peraturan domestik' dan 'dalam garis masa yang boleh diterima oleh kedua-dua pihak,' memberi Malaysia ruang undang-undang dan diplomatik untuk mengelak daripada mengambil tindakan ke atas negara-negara lain," katanya pada sesi penerangan khas di Dewan Rakyat hari ini.

Tengku Zafrul berkata Malaysia hanya perlu berbincang dengan AS dan sekiranya Malaysia perlu mengambil tindakan perdagangan, boleh berbuat demikian di bawah undang-undang dan peraturan domestik, dengan garis masa dan mekanisme sendiri.

"Peruntukan tersebut juga menekankan sebarang tindakan diambil oleh Malaysia harus merupakan isu melibatkan 'shared economic concern', iaitu isu yang menjadi masalah bersama bagi Malaysia dan AS," tambahnya.

Beliau berkata AS merupakan kuasa ekonomi terbesar dunia, ia adalah pasaran eksport terbesar Malaysia dengan jumlah perdagangan Malaysia-AS pada tahun 2024 adalah RM325 bilion, eksport Malaysia ke AS berjumlah RM198.65 bilion.

Bagi tempoh Januari-September 2025, jumlah eksport negara ke AS adalah RM166.38 bilion.

"Ini pasaran penting buat Malaysia, mahu tidak mahu, kita perlu bangkit mempertahankan akses kepada pasaran ini walaupun berhadapan dengan tekanan tarif timbal balas bersifat unilateral oleh kerajaan Amerika Syarikat.

"Kita tiada pilihan tetapi untuk berunding, demi kepentingan negara dan ekonomi kita," kata Tengku Zafrul.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata Malaysia mengambil keputusan untuk memulakan proses rundingan dengan AS seawal Mei, 2025, bagi mendapatkan kadar tarif lebih rendah supaya barangan eksport Malaysia terus kekal berdaya saing.

Pendekatan itu juga dilihat boleh memberi kelebihan kepada negara berbanding dengan pilihan tidak berbuat apa-apa atau mengambil tindakan balas terhadap AS yang merupakan kuasa besar ekonomi dunia.

Pada 2 April, 2025, Malaysia telah dikenakan kadar tarif 24 peratus, seterusnya dinaikkan kepada 25 peratus pada Julai 2025 berikutan ketidakseimbangan perdagangan antara Malaysia-AS.

Sebagai sebahagian daripada pakej hasil rundingan ini, hubungan dua hala Malaysia-AS telah dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik Komprehensif, katanya.

"Hasil utama daripada rundingan yang mengambil masa enam bulan adalah kejayaan Malaysia menurunkan kadar tarif dikenakan AS dari 25 peratus kepada 19 peratus, merupakan kadar terendah dikenakan kepada negara ASEAN yang juga mempunyai lebihan dagangan dengan Amerika Syarikat.

"Sekiranya Perjanjian ART ini tidak segera dimeterai, Malaysia berhadapan dengan risiko kerajaan AS menaikkan semula kadar tarif kepada kadar asal iaitu 24 peratus atau pada kadar jauh lebih tinggi," kata Tengku Zafrul.

-- BERNAMA





#Tengku Zafrul #perjanjian dengan AS #tarif AS #Berita Terkini ASEAN25 #hubungan dua hala Malaysia-AS