KUALA LUMPUR: RHB Investment Bank Bhd melihat Malaysia semakin pesat berkembang sebagai hab pusat data di Asia dengan dasar pro-perniagaan yang menyokong dapat menarik dan mengekalkan pelabur pusat data.

Pekerja berkemahiran dan berpengetahuan di Malaysia menggambarkan kelebihan daya saing yang ketara dalam memangkin pelaburan langsung asing yang lebih besar yang merupakan faktor penting untuk industri pusat data, katanya.

"Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim komited untuk mempercepatkan lagi penerimaan digital di negara ini yang merupakan petanda baik untuk industri pusat data domestik," kata firma penyelidikan itu dalam satu nota penyelidikan.

Ia menunjukkan bahawa pandangan positif industri juga disokong oleh Dasar Pelaburan Baharu yang diumumkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) pada Oktober 2022, di mana kerajaan berusaha meningkatkan peluang pekerjaan bernilai tinggi.

"Selain daripada Amazon Web Services dan Microsoft yang telah komited untuk membina rangkaian teknologi awan di negara ini, syarikat terkemuka dalam pusat data seperti GDS, Equinix dan Yondr Group telah mengeluarkan modal bagi membina kemudahan pertama mereka di Malaysia," katanya.

"Idea pelaburan dalam ruang lingkup pusat data secara semula jadi melibatkan syarikat telekomunikasi talian tetap memandangkan pusat data adalah aset utama untuk perkhidmatan dan penyelesaian berkaitan perusahaan yang melengkapkan aset kabel dasar laut yang luas.

"Walaupun tiada syarikat senaraian awam pusat data di Bursa Malaysia, tema pusat data juga harus termasuk syarikat berkaitan pembinaan dan jenis perkhidmatan yang membentuk sebahagian daripada rantaian nilai yang lebih luas," katanya.

Syarikat penyelidikan itu menamakan tiga saham, iaitu Telekom Malaysia Bhd (harga sasaran (TP): RM6.20, Time dotcom (RM5.60) dan Sunway Construction Group Bhd (RM2.07) yang dipercayai penerima manfaat daripada industri pusat data tersebut.

-- BERNAMA