BISNES

Perodua Traz tampil SUV praktikal untuk gaya hidup harian

Amzar Alif 18/12/2025 | 12:00 MYT
Perodua Traz dijual pada harga bermula RM76,100 hingga RM82,000, dengan sasaran jualan sekitar 1,900 unit sebulan, manakala penghantaran kenderaan dijangka bermula dalam masa terdekat. - Gambar Perodua
PETALING JAYA: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) menutup tirai tahun 2025 dengan pelancaran kenderaan utiliti sukan (SUV) terbaharu, Perodua Traz, yang direka khusus untuk memenuhi keperluan penggunaan harian pengguna Malaysia merangkumi gaya hidup bandar, keluarga dan aktiviti luar.


Ringkasan AI
  • Perodua melancarkan SUV terbaharu, Perodua Traz, yang direka khusus untuk kegunaan harian pengguna Malaysia dalam pelbagai gaya hidup.
  • Perodua Traz menawarkan praktikaliti, kepelbagaian fungsi, dan harga yang berpatutan tanpa mengabaikan keupayaan teknikal seperti enjin 1.5 liter dan transmisi dual-mode CVT.
  • Model ini menitikberatkan ciri teknologi yang praktikal dan relevan, mencerminkan komitmen Perodua terhadap memenuhi keperluan sebenar pengguna.


Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad, berkata model lima tempat duduk itu dibangunkan dengan penekanan kepada praktikaliti, kepelbagaian fungsi serta ciri yang benar-benar relevan untuk digunakan dalam rutin seharian.

Menurutnya, Perodua Traz disasarkan kepada pengguna yang mahukan sebuah SUV serba boleh, mampu menyesuaikan diri dengan gaya hidup aktif serta keperluan keluarga, tanpa menjejaskan aspek kemampuan harga.

“Model ini dibangunkan untuk menjadi praktikal dan versatil, sesuai dengan rutin serta gaya hidup seharian pengguna. Dengan kapasiti but sehingga 471-liter, ia mampu memuatkan pelbagai barangan termasuk untuk aktiviti luar, sekali gus menjadikannya pilihan yang amat praktikal,” katanya.

Dari segi spesifikasi, Perodua Traz dilengkapi enjin 1.5 liter dengan transmisi dual-mode CVT, direka bagi memberikan keseimbangan antara prestasi pemanduan dan kecekapan bahan api.

SUV itu turut menawarkan kapasiti but sehingga 471-liter, sistem infotainmen dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, kamera 360 darjah panoramik, serta ciri tambahan seperti Sensor Gerakan untuk Bukaan Pintu Belakang dan penyaman udara untuk penumpang belakang bagi meningkatkan keselesaan perjalanan.

Perodua Traz dilengkapi enjin 1.5 liter dengan transmisi dual-mode CVT. - Gambar Perodua

Dengan kapasiti but sehingga 471-liter, ia mampu memuatkan pelbagai barangan. - Gambar Perodua

Sistem infotainmen dilengkapi dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto serta kamera 360 darjah panoramik. - Gambar Perodua



Beliau menegaskan bahawa pendekatan Perodua dalam memperkenalkan ciri teknologi adalah berteraskan keperluan sebenar pengguna, bukannya sekadar elemen tambahan.

“Ciri yang ditawarkan bukan sekadar ‘nice to have’, tetapi bersifat praktikal dan relevan untuk kegunaan harian. Apabila pelanggan melihat sendiri kenderaan ini dan memahami fungsi ciri-cirinya, mereka akan menyedari ia benar-benar memenuhi keperluan penggunaan seharian,” ujarnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa kos pembangunan projek Perodua Traz dianggarkan sekitar RM563.3 juta, dengan kenderaan tersebut dihasilkan di kilang Perodua Manufacturing Sdn Bhd di Sungai Choh, Rawang.

Perodua Traz mempunyai 95 peratus kandungan tempatan, sekali gus mencerminkan komitmen syarikat terhadap pembangunan ekosistem automotif domestik serta pengukuhan rantaian pembekal tempatan.

Model itu boleh didapati dalam beberapa pilihan warna termasuk warna dua-tona seperti Electric Blue dan Glittering Silver (untuk varian ‘H’ sahaja), warna metalic seperti Cranberry Red, Granite Grey dan Glittering Silver dan warna solid - Ivory White .

Perodua Traz dijual pada harga bermula RM76,100 hingga RM82,000, dengan sasaran jualan sekitar 1,900 unit sebulan, manakala penghantaran kenderaan dijangka bermula dalam masa terdekat.

“Kami sentiasa berusaha memperkenalkan teknologi baharu kepada pelanggan di Malaysia, namun dalam setiap perancangan, keutamaan kami adalah memastikan pengguna biasa turut dapat merasai manfaat teknologi tersebut. Setiap model dibangunkan dengan sasaran pelanggan, pasaran dan kegunaan yang jelas.

“Kerana bagi kami, pembelian kenderaan bukan hanya tentang produk semata-mata, tetapi keseluruhan ekosistem termasuk kemudahan servis dan sokongan selepas jualan. Dengan lebih 200 pusat servis di seluruh negara, kami memastikan pengalaman pemilikan yang menyeluruh dan berterusan untuk pelanggan,” tambahnya.

Orang ramai digalakkan mengunjungi bilik pameran Perodua di seluruh negara untuk melihat dan merasai sendiri keupayaan praktikal yang ditawarkan oleh Perodua Traz, selari aspirasi syarikat untuk menyediakan kenderaan yang memenuhi keperluan gaya hidup harian pengguna Malaysia.

Barisan kepimpinan Perodua bergambar pada majlis pelancaran Perodua Traz  di Petaling Jaya pada Rabu. - Gambar Perodua




#Perodua Traz #SUV #kenderaan baharu #industri automotif