KUALA LUMPUR: Perolehan AEON Credit Service (M) Berhad bagi suku keempat tahun kewangan 2022 (Q4FY22) mencatat penurunan sebanyak 10.7% iaitu  RM362.97 juta berbanding 406.35 juta pada Q4FY21.

Penurunan itu juga terpampang pada tahun kewangan berakhir 28 Februari 2022 (FYE22) yang menunjukkan penyusutan 2.4% atau RM1.52 bilion berbanding RM1.56 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.

Dalam pemaklumannya kepada Bursa Malaysia, penurunan itu menurut AEON Credit adalah disebabkan oleh pendapatan faedah lebih rendah yang direkodkan daripada asas penghutang pembiayaan purata yang lebih rendah.

Keuntungan sebelum cukai (PBT) Kumpulan untuk Q4FYE22 sebanyak RM44.79 juta turut menunjukkan penurunan sebanyak 70.8% daripada RM153.63 juta yang dicatatkan pada Q4FYE21, manakala PAT dicatatkan pada RM23.38 juta, penurunan sebanyak 79.4% berbanding dengan RM113.72 juta pada Q4FYE21 disebabkan oleh peruntukan yang lebih tinggi untuk kerugian rosot nilai ke atas pembiayaan belum terima.

Prestasi bagi suku tersebut juga sebahagiannya dipengaruhi oleh lonjakan varian Omicron COVID-19 yang lebih cepat menular, menyebabkan peningkatan mendadak bilangan terjangkit dari kalangan orang ramai dan juga kakitangan.

Pembiayaan kasar Kumpulan menguncup 2.2% kepada RM9.86 bilion pada 28 Februari 2022 berbanding RM10.08 bilion pada 28 Februari 2021 kerana nisbah Pinjaman Tidak Berbayar (NPL) berada pada 2.66% pada FYE22 berbanding 2.46% yang dicatatkan dalam FYE21 manakala nisbah perlindungan kerugian pinjaman berada pada 289.0% untuk FYE22 berbanding 339.0% pada FYE21.

Lembaga Pengarah telah mengesyorkan pembayaran dividen satu peringkat akhir sebanyak 15.00 sen sesaham dan dividen satu peringkat khas sebanyak 5.00 sen sesaham bagi FYE22 untuk dibayar pada 21 Julai 2022.

Ia adalah tertakluk kepada kelulusan pemegang saham di Mesyuarat Agung Tahunan yang akan datang akan diadakan pada tarikh yang akan diumumkan kemudian. Jumlah dividen yang perlu dibayar untuk FYE22 berjumlah 48.50 sen dengan nisbah pembayaran sebanyak 33.9%. - DagangNews.com