Skip to main content

Bisnes

Pertumbuhan 6.0 peratus bukti momentum ekonomi Malaysia kekal kukuh -- Akmal Nasrullah

KUALA LUMPUR, Aug 1 -- Economy Minister Akmal Nasrullah Mohd Nasir speaks to the media after attending the AMEU Economics Summit 2026 at Sasana Kijang today._BERNAMA
Prestasi negara mencatat pertumbuhan 6.0 peratus pada suku kedua 2026 menunjukkan ekonomi Malaysia terus mempunyai momentum yang kukuh walaupun berdepan persekitaran global mencabar, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir. - Gambar fail/BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Prestasi negara mencatat pertumbuhan 6.0 peratus pada suku kedua 2026 menunjukkan ekonomi Malaysia terus mempunyai momentum yang kukuh walaupun berdepan persekitaran global mencabar, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Namun pada masa sama, beliau mengingatkan bahawa kejayaan ekonomi tidak boleh diukur semata-mata melalui angka pertumbuhan semata-mata.

“Apa yang lebih penting adalah peluang pekerjaan yang lebih baik, peningkatan pendapatan serta kuasa beli rakyat,” katanya dalam satu kenyataan Kementerian Ekonomi hari ini.

Kementerian itu memaklumkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkembang 6.0 peratus pada suku kedua 2026, meningkat daripada 5.4 peratus pada suku pertama tahun berkenaan.

Prestasi itu menjadikan pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi tempoh separuh pertama 2026 sebanyak 5.7 peratus berbanding 4.5 peratus dalam tempoh sama pada 2025.

Pertumbuhan berkenaan disokong oleh permintaan domestik yang kukuh, prestasi eksport elektrik dan elektronik (E&E) yang menggalakkan serta pertumbuhan sektor perkhidmatan dan pembuatan.

Pasaran tenaga kerja kekal berdaya tahan manakala tekanan harga masih terkawal dengan inflasi pada kadar 1.9 peratus bagi suku kedua 2026, menurut kementerian itu.

“Prestasi ekonomi tersebut dicapai dalam keadaan ekonomi global terus berdepan ketidaktentuan, termasuk kesan ketegangan geopolitik di Asia Barat terhadap harga tenaga, kos logistik dan rantaian bekalan.

“Struktur ekonomi Malaysia yang pelbagai serta kekuatan permintaan domestik terus menjadi penampan kepada tekanan luaran,” menurutnya.

Selain itu, Akmal Nasrullah berkata kerajaan melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) akan terus memantau perkembangan ekonomi dan mengambil langkah bersesuaian bagi memastikan kesan perkembangan luar terhadap rakyat serta perniagaan dapat ditangani secara berkesan.

“Tumpuan MTEN kepada empat langkah utama iaitu menjamin bekalan, memanjangkan tempoh bekalan, mengekang kenaikan harga dan memanfaatkan peluang ekonomi.

“Keutamaan adalah untuk memastikan bekalan kekal mencukupi, harga terkawal dan aktiviti perniagaan dapat diteruskan, di samping memanfaatkan peluang baharu daripada perubahan ekonomi dan rantaian bekalan global,” katanya.

Dalam pada itu, kementerian memaklumkan bagi memperkukuh daya tahan ekonomi, kerajaan akan terus mempelbagaikan sumber bekalan strategik, memperkukuh hubungan perdagangan dan meningkatkan keupayaan industri domestik.

“Kerjasama dengan rakan dagang utama termasuk Australia, China dan Jepun turut diperkukuh bagi mengurangkan risiko gangguan rantaian bekalan.

“Bagi separuh kedua 2026, pertumbuhan ekonomi dijangka terus disokong oleh permintaan domestik, pasaran buruh yang stabil, perbelanjaan isi rumah, aktiviti pelancongan serta permintaan global terhadap produk E&E,” menurutnya.

Kerajaan juga kekal memberi perhatian terhadap risiko luaran dan akan memastikan dasar serta langkah intervensi dilaksanakan secara bersasar.

“Dalam jangka sederhana dan panjang, pelaksanaan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) akan terus dipercepat dengan tumpuan kepada peningkatan produktiviti, pelaburan berkualiti tinggi, pembangunan bakat dan kepelbagaian sumber pertumbuhan.

“Matlamat kerajaan adalah untuk memastikan pertumbuhan ekonomi negara kekal mampan dan berdaya tahan, selain manfaatnya dapat diterjemahkan kepada pendapatan, peluang ekonomi dan kesejahteraan rakyat yang lebih baik,” menurut kementerian itu.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement