BISNES

Pertumbuhan kukuh ekonomi, inflasi sederhana pengaruhi keputusan OPR - Gabenor BNM

Bernama 27/01/2026 | 13:00 MYT
Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Seri Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour ketika sesi temu bual bersama Bernama di Bank Negara Malaysia hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) melihat prospek pertumbuhan ekonomi negara yang berdaya tahan pada 2026 dan menjangkakan inflasi terus kekal sederhana.


Ringkasan AI
  • Bank Negara Malaysia (BNM) menjangkakan pertumbuhan ekonomi negara kekal berdaya tahan pada tahun 2026.
  • Keputusan untuk mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 2.75 peratus mencerminkan penilaian bank pusat terhadap prospek pertumbuhan dan inflasi negara.
  • Abdul Rasheed Ghaffour menekankan bahawa pengurangan OPR boleh membantu memacu ekonomi dalam keadaan lembap; manakala peningkatan risiko inflasi akan ditangani bagi mengelakkan inflasi yang tidak terkawal.


Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata keputusan untuk mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) tidak berubah pada 2.75 peratus semasa mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) minggu lepas mencerminkan penilaian bank pusat terhadap prospek pertumbuhan dan inflasi negara.

"Tahun lepas kita mencatatkan pertumbuhan yang baik. Ekonomi menunjukkan daya tahan, dan (kami menjangkakan) perkara ini akan berterusan bagi tahun 2026.

"Persekitaran harga yang agak stabil disokong oleh keadaan kos global yang berkurangan, dengan harga komoditi global dijangka kekal sederhana. Ini telah membantu membendung tekanan kos," katanya kepada Bernama menerusi satu temu bual eksklusif, hari ini.

Abdul Rasheed berkata meskipun ketidakpastian global masih berterusan, MPC mengikuti rapat perkembangan luaran dan menilai bagaimana ia memberi kesan terhadap prospek ekonomi Malaysia.

Beliau menegaskan dari segi dasar monetari, BNM tidak memutuskan kadar terlebih dahulu sebaliknya membuat keputusan berdasarkan mesyuarat demi mesyuarat.

"Penilaian terhadap prospek pertumbuhan dan inflasi mungkin berubah, bergantung pada perkembangan global dan domestik. Dalam persekitaran ini, paras OPR semasa sebanyak 2.75 peratus adalah sesuai dan menyokong ekonomi," katanya.

Beliau menjelaskan semua data yang berkaitan dikemas kini dan disemak oleh MPC pada setiap mesyuaratnya yang diadakan enam kali setahun.

Mengenai peranan dan impak keputusan dasar monetari terhadap aktiviti ekonomi, Abdul Rasheed berkata apabila ekonomi mengalami kelembapan, pengurangan OPR akan dapat membantu memacu ekonomi.

"Apabila kadar faedah turun, pembayaran balik pinjaman menjadi lebih murah, menjadikan isi rumah mempunyai lebih banyak wang untuk dibelanjakan. Sama juga dengan perniagaan. Mereka boleh meminjam dengan lebih murah, dan kemudian (mereka) boleh melabur," katanya.

Sebaliknya, Abdul Rasheed berkata apabila risiko inflasi meningkat, bank pusat akan mengambil tindakan untuk mengawal tekanan harga.

"Walaupun kadar yang lebih tinggi mungkin menjadikan pinjaman lebih mahal, ia perlu untuk mengelakkan inflasi yang tidak terkawal," katanya.

Beliau berkata MPC berusaha untuk mengawal tekanan inflasi kerana ia penting untuk memastikan kuasa beli dilindungi dari semasa ke semasa.

-- BERNAMA




#Bank Negara Malaysia #Gabenor BNM Abdul Rasheed Ghaffour #pertumbuhan ekonomi #Kadar Dasar Semalaman OPR