Para perunding Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dari 12 negara berkumpul di Kota Kinabalu bagi pusingan ke-18, dengan harapan dapat memuktamadkan rundingan itu pada akhir tahun.

Jepun membuat kemunculan sulung sebagai ahli TPPA ke-12 di Sabah, bersama Australia, Brunei, Kanada, Chile, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat dan Vietnam.

Rundingan itu, yang bermula Isnin sehingga 25 Julai, diadakan secara tertutup dan tiada sesi awam, kecuali bagi sesi pemegang kepentingan, pada 20 Julai.

Objektif program itu adalah untuk membolehkan pemegang kepentingan menyuarakan pandangan dan kebimbangan mereka.

Lebih 180 pemegang kepentingan, termasuk 51 dari Malaysia mewakili pelbagai kumpulan kepentingan berbeza telah mendaftar bagi sesi ini.

TPPA, inisiatif perdagangan bebas, dijangka mengembangkan eksport negara-negara yang menyertainya menjadi satu asas pasaran global besar dan menyediakan asas produk lebih murah bagi pengguna.

Dengan cadangan penghapusan atau pengurangan duti dalam TPPA, produk Malaysia akan menjadi lebih kompetitif, terutamanya di pasaran Amerika Syarikat.

Walaupun ia adalah janji niaga perdagangan, ia juga memberi kesan kepada pelaburan asing, dengan Jepun menjadi pelabur utama di Malaysia, bersama AS dan negara-negara Asean lain.

Sidang media dijadualkan pada 25 Julai, yang dianjurkan oleh ketua perunding TPPA bagi memaklumkan perkembangan terkini kepada media mengenai kemajuan TPPA.

Sebagai sebuah negara dagangan, adalah wajar bagi Kuala Lumpur untuk menyertai TPPA bagi mendapat akses lebih besar ke pasaran rakan dagangannya, terutamanya AS, Jepun dan Asean.



Malangnya, beberapa pihak telah menyebarkan apa yang dianggap oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI) sebagai maklumat yang tidak tepat.

Antaranya adalah tuduhan satu kaji selidik oleh Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) yang mengandungi cadangan bagi Malaysia agar tidak memeterai TPPA.

MITI menafikan tuduhan itu, dengan menyatakan mereka memberi gambaran yang salah mengenai pendirian kerajaan Malaysia berkaitan agenda perdagangan negara.

Kabinet perlu memberi lampu hijau kepada mana-mana perjanjian oleh Malaysia pada rundingan itu, sebelum sebarang janji niaga dimeterai.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed pada satu wacana baru-baru ini berkata mustahak bagi Malaysia untuk menjadi sebahagian daripada TPPA bagi mengurangkan birokrasi dan menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan yang akan mengurangkan secara tidak langsung gejala rasuah.

Beliau juga berkata menyertai TPPA tidak semestinya meningkatkan pelaburan asing di negara ini, tetapi akan membantu menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan dalam kalangan pelabur asing.

"Dengan adanya TPPA, ia juga akan melindungi kepentingan konglomerat berkaitan kerajaan seperti Petronas dan Sime Darby Bhd, yang banyak melabur di luar negara," beliau dipetik sebagai berkata.

Mustapa berkata walaupun rundingan telah berada di peringkat akhir, Malaysia tidak akan berkompromi dengan sebarang isu yang akan menjejaskan kedaulatan negara dan kepentingan rakyat dalam usaha untuk mengejar tarikh akhir yang disasarkan pada akhir tahun ini.