KUANTAN: Peningkatan peruntukan dalam Belanjawan 2024 kepada sektor pendidikan tinggi mampu memperhebat usaha membangunkan bakat terbaik dalam pelbagai bidang untuk negara, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata peruntukan itu juga boleh meningkatkan lagi aktiviti penyelidikan dan inovasi dalam kalangan pelajar serta membantu usaha pengantarabangsaan pendidikan tinggi.

"Jadi saya percaya peruntukan kepada sektor pendidikan tinggi akan terus memainkan peranan utama untuk menjayakan pembangunan, kemajuan dan kesejahteraan rakyat serta negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Hari Terbuka Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Ekspokonvokesyen UMPSA, yang turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pengarah universiti berkenaan Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman di sini hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia MADANI pada Jumaat lepas berkata sebanyak RM16.3 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi berbanding RM15.3 bilion tahun ini.

Peruntukan RM16.3 bilion itu merangkumi peruntukan sebanyak RM20 juta untuk penubuhan pusat pengajian Kecerdasan Buatan (AI) pertama negara iaitu Fakulti AI di Universiti Teknologi Malaysia.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled mengingatkan pihak universiti supaya mengemukakan permohonan bagi menerima peruntukan belanjawan tersebut untuk dipertimbangkan oleh kementeriannya.

"Kita nak pastikan duit yang dibelanjakan itu membawa pulangan bermanfaat dan berimpak," katanya.

Menyentuh mengenai pelaksanaan had yuran pendaftaran masuk ke universiti awam yang tidak melebihi RM1,500 mulai Januari 2024, beliau berkata inisiatif itu adalah ihsan kerajaan kepada rakyat.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata pihaknya akan menjalankan siasatan terhadap dakwaan Mahasiswa Progresif Universiti Malaya (UM) yang menyatakan universiti itu menaikkan yuran perkhidmatan tanpa sebarang notis dikeluarkan.

-- BERNAMA