KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini melancarkan JanaNiaga sebagai platform menyokong Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) selain melindungi pekerjaan dan memastikan sektor itu terus menyumbang kepada ekonomi negara.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata platform itu akan memanfaatkan PKS yang mengalami masalah aliran tunai disebabkan tempoh pembayaran invois yang lama.

Jelas beliau, bantuan kepada PKS itu akan diberi melalui pinjaman daripada institusi-institusi kewangan melalui platform JanaNiaga.

"Platform pembayaran digital rantaian bekalan nasional seperti JanaNiaga ini memberi faedah besar kepada ekosistem dan telah diguna pakai secara meluas oleh sektor ekonomi negara luar.

"Penggunaan platform ini menyokong pemulihan ekonomi jangka panjang dan selaras dengan strategi kerajaan dalam mengutamakan automasi dan pendigitalan serta pengunaan teknologi baharu bagi mempercepatkan transformasi ke arah ekonomi berpendapatan tinggi," katanya ketika melancarkan platform itu secara maya pada Khamis.

Ujarnya, EXIM Bank sebagai badan yang menerajui platform itu dengan penglibatan beberapa institusi kewangan di Malaysia telah memperuntukkan RM300 juta bagi memastikan bantuan kepada PKS dapat diberikan dengan secepat mungkin.

"Jumlah ini dijangka akan mencecah RM1.2 bilion dengan peruntukan tambahan daripada institusi-institusi kewangan yang akan menyertai JanaNiaga secara berfasa.

"Dengan purata tempoh invois selama 90 hari, jumlah ini akan bakal menyumbang sebanyak RM4.8 billion setahun kepada kecairan tunai PKS," katanya.

Jelas beliau, platform JanaNiaga berterajukan pembiayaan invois daripada pembekal GLC menerusi portal digital, sekali gus membolehkan pembekal-pembekal PKS menikmati kadar pembiayaan serendah 3.5 peratus untuk margin pembiayaan sebanyak 100 peratus.

Selain itu, permohonan pembiayaan juga dibuat secara dalam talian, membolehkan setiap permohonan diluluskan dalam tempoh 24 jam sahaja.

Pada peringkat awal ini, JanaNiaga akan dilaksanakan bersama Petronas dan Telekom Malaysia.