BUSINESS

Petronas Gas unjur impak keuntungan RM60 juta pada tahun kewangan 2025 susulan kebakaran di Putra Heights

Bernama 26/05/2025 | 11:00 MYT
PGB menubuhkan pasukan petugas bebas untuk menyelia siasatan, pemulihan aset, dan keselamatan infrastruktur, serta terus bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi mengenal pasti punca kejadian. - Gambar fail/ Bernama
KUALA LUMPUR: Petronas Gas Bhd (PGB) pada masa ini dianggarkan mengalami jumlah impak keuntungan sebanyak RM60 juta bagi tahun kewangan 2025.


Ringkasan AI
  • Petronas Gas Bhd (PGB) dijangka mengalami impak keuntungan sekitar RM60 juta bagi tahun kewangan 2025 akibat kebakaran saluran paip utama di Putra Heights pada 1 April 2025.
  • Kos pembaikan dan pemulihan aset dianggarkan sekitar RM170 juta, namun sebahagian besar akan diklasifikasikan sebagai perbelanjaan modal dan dijangka ditampung melalui tuntutan insurans.
  • PGB menubuhkan pasukan petugas bebas untuk menyelia siasatan, pemulihan aset, dan keselamatan infrastruktur, serta terus bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi mengenal pasti punca kejadian.


Syarikat penghantaran gas asli itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata jumlah berkenaan merangkumi kos pembaikan dan kehilangan perolehan yang berpunca daripada insiden kebakaran saluran paip utama PGB berhampiran Putra Heights di Puchong, Selangor pada 1 April 2025.

PGB berkata kehilangan perolehan akibat gangguan perkhidmatan dijangkakan minimum kira-kira RM20 juta berikutan kerjasama proaktif antara PGB, pihak berkuasa, penghantar gas, dan pengedar dalam usaha pantas untuk memulihkan perkhidmatan saluran paip dan menstabilkan bekalan.

Menurut kumpulan impak kewangan daripada kerja-kerja pembaikan dan pemulihan aset dianggarkan kira-kira RM170 juta, tertakluk kepada dapatan akhir penyiasatan, dan berdasarkan keadaan tapak semasa dan tahap kerosakan aset.

"Sebahagian besar daripada jumlah ini dijangka dipermodalkan di bawah perbelanjaan modal syarikat, dengan sebahagian pemulihan dijangkakan melalui tuntutan insurans," katanya.

PGB berkata ia akan terus bekerjasama rapat dan telus dengan pihak berkuasa bagi menentukan punca sebenar kejadian dan mengenal pasti faktor penyumbang.

Satu pasukan petugas bebas turut ditubuhkan bagi menyediakan pengawasan strategik terhadap siasatan selepas kejadian, aktiviti pemulihan dan pemulihan aset, keselamatan infrastruktur penghantaran gas serta perkara lain yang berkaitan.

-- BERNAMA




#kebakaran paip gas #Putra Heights #Petronas Gas #impak keuntungan