[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
BISNES

PETRONAS hantar bahan api penerbangan mampan pertama buatan Malaysia ke KLIA

Bernama 12/09/2025 | 07:40 MYT
SAF berkenaan akan digunakan untuk perkhidmatan harian Malaysia Airlines MH2 pada lewat malam dari Kuala Lumpur ke London antara 1 September dan 16 September. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) telah menghantar bahan api penerbangan mampan (SAF) pertama buatan Malaysia ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk Malaysia Aviation Group (MAG), menandakan keupayaan buatan tempatan dan kesediaannya untuk menyediakan bekalan berterusan dan berskala di negara ini.

SAF berkenaan akan digunakan untuk perkhidmatan harian Malaysia Airlines MH2 pada lewat malam dari Kuala Lumpur ke London antara 1 September dan 16 September, ia merupakan langkah ketara dalam menyepadukan bahan api ke dalam operasi biasanya.

Dihasilkan di kemudahan Petronas, SAF yang diperakui Pensijilan Kemampanan dan Karbon Antarabangsa (ISCC) dan memenuhi keperluan bahan api yang layak CORSIA, dihantar terus ke KLIA melalui saluran paip pelbagai produk milik Malaysian Refining Company (MRCSB), memastikan bekalan tersedia melalui rantaian bersepadunya.

Naib Presiden Penapisan, Pemasaran dan Perdagangan Petronas Ahmad Adly Alias berkata syarikat itu diiktiraf peranannya dalam memacu usaha global ke arah penyahkarbonan khususnya dalam memacu aspirasi sifar bersih karbon Malaysia sebagai pemangkin utama dalam pembangunan bahan api masa depan.

"Penyahkarbonan industri penerbangan memerlukan laluan yang boleh dipercayai, dan SAF adalah penyelesaian segera tersedia ketika ini," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata projek perintis itu adalah pelaburan jangka panjang yang strategik untuk membina keupayaan dalaman melalui kemajuan dalam teknologi dan infrastruktur serta pembangunan bakat, untuk menyampaikan penyelesaian boleh dipercayai, kos efektif kepada rakan kongsi dan pelanggan.

"Pencapaian ini juga telah meletakkan kami selangkah ke depan dalam menyokong sasaran kerajaan untuk SAF di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, mengukuhkan komitmen Petronas terhadap keselamatan tenaga negara dan pertumbuhan industri," katanya.

Ketua Pegawai Kelestarian Kumpulan Malaysia Aviation Group Philip See berkata kerjasama yang kukuh merentas industri penerbangan adalah penting untuk meningkatkan pengeluaran SAF, menjadikannya lebih tersedia secara meluas, mudah diakses dan berpatutan.

"MAG teruja dengan kemajuan ini dan kekal komited untuk menerajui inisiatif yang mempercepatkan penggunaan SAF, menyokong perjalanan Malaysia dan global ke arah masa depan yang lebih hijau dan lebih mampan untuk penerbangan," katanya.

-- BERNAMA




#Petronas #MAG #KLIA #bahan api penerbangan mampan