Petronas kekalkan dividen RM16 bilion kepada kerajaan

Malik Ridhwan, Pritha Manivannan
Februari 29, 2016 09:30 MYT
Barisan Kepimpinan Petronas pada pengumuman prestasi tahun kewangan kumpulan. Dari kiri, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Datuk George Ratilal, Wan Zulkiflee, Pengerusi Tan Sri Mohd Sidek Hassan, Hiliran Md Arif Mahmood dan Wee. - Gambar Astro AWANI
Dividen Petronas bagi kerajaan akan dikekalkan pada RM16 bilion bagi 2016.
Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin, Petronas terus komited mengekalkan dividen tersebut kepada kerajaan.
Walau bagaimanapun, beliau berkata berikutan situasi pasaran minyak mentah global yang mencabar, Petronas akan mengambil langkah optimum bagi kedua-dua Perbelanjaan Modal (CAPEX) dan Operasi (OPEX).
Beliau berkata perbelanjaan CAPEX dan OPEX akan dikurangkan sebanyak RM50 bilion bagi tempoh empat tahun.
Manakala sebanyak RM15 hingga RM20 bilion akan dikurangkan bagi 2016.
Ketika ditanya mengenai pemotongan pekerjaan, beliau berkata langkah penstrukturan semula akan dibincangkan secara dalaman telebih dahulu sebelum pengumuman dibuat kepada media dalam masa terdekat.
Projek Pacific NorthWest LNG Kanada
Sementara itu Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Hiliran Petronas Datuk Wee Yiaw Hin berkata, Projek Pacific NorthWest LNG Kanada kendalian Petronas masih dalam proses penilaian semula oleh Agensi Penilaian Alam Sekitar Kanada.
“Kami akan mengambil langkah satu-persatu. Selepas agensi tersebut membuat penilaian alam sekitar, kami akan melihat semula pada kos projek tersebut dan juga syarat yang dikenakan agensi tersebut,” kata Wee, ketika siding media selepas pengumuman prestasi kewangan Petronas 2015.
Pada 11 Februari lalu, Agensi Penilaian Alam Sekitar Kanada berkata pembangunan Petronas bernilai USD26 bilion akan menyebabkan kesan buruk signifikan terhadap alam sekitar.
Agensi tersebut menyuarakan kebimbangan pengeluaran gas rumah hijau dan pemusnahan habitat hidupan laut di sekitar kawasan pelabuhan.
#Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin #Dividen Kerajaan #keputusan kewangan #Petronas