BISNES

PETRONAS teroka pasaran Guyana menerusi Blok S4

Bernama 12/11/2025 | 09:31 MYT
Perjanjian itu juga menandakan penyertaan pertama PETRONAS di Guyana. - PETRONAS
KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) melalui anak syarikat milik penuhnya, PETRONAS Energy Guyana Sdn Bhd menandatangani perjanjian petroleum (PA) bagi Blok S4 yang terletak di kawasan perairan Guyana.


Ringkasan AI
  • PETRONAS melalui anak syarikatnya, PETRONAS Energy Guyana Sdn Bhd, menandatangani perjanjian petroleum bagi Blok S4 di perairan Guyana, meliputi kawasan seluas 1,787 kilometer persegi yang strategik bagi pengeluaran hidrokarbon.
  • Perjanjian tersebut melibatkan kerjasama antara PETRONAS, QatarEnergy, dan TotalEnergies EP Guyana Shallow SAS, dengan PETRONAS memegang 25 peratus kepentingan, QatarEnergy 35 peratus, dan TotalEnergies 40 peratus sebagai pengendali Blok S4.
  • Langkah penyertaan PETRONAS di Guyana menegaskan kehadiran syarikat itu di Amerika serta mengukuhkan pembangunan di Lembangan Guyana-Suriname yang dianggap kawasan berpotensi tinggi untuk pengeksplorasian sumber tenaga.


Menurut kenyataan PETRONAS hari ini, Blok S4 meliputi kawasan seluas kira-kira 1,787 kilometer persegi dan terletak secara strategik di sepanjang laluan penghijrahan hidrokarbon yang berpotensi tinggi.

"Perjanjian itu dimeterai bersama kerajaan Guyana serta rakan konsortium, TotalEnergies EP Guyana Shallow SAS dan QatarEnergy.

"Di bawah perjanjian tersebut, PETRONAS memegang 25 peratus kepentingan penyertaan, QatarEnergy 35 peratus, manakala TotalEnergies, dengan pegangan 40 peratus, bertindak sebagai pengendali Blok S4," kata syarikat minyak dan gas nasional itu.

Perjanjian itu juga menandakan penyertaan pertama PETRONAS di Guyana, sekali gus mengukuhkan lagi kehadirannya di rantau Amerika selepas konsortium berkenaan berjaya membida dalam Pusingan Pembidaan Lesen Guyana 2022.

Langkah itu juga merupakan pencapaian penting dalam pengembangan PETRONAS di Lembangan Guyana-Suriname, yang diiktiraf secara meluas sebagai kawasan baharu berpotensi tinggi untuk penerokaan sumber tenaga.

Naib Presiden Bahagian Penerokaan PETRONAS Faisal Bakar berkata penyertaan syarikat itu di Lembangan Guyana-Suriname menandakan satu lagi bab penting dalam perjalanan pertumbuhan antarabangsa PETRONAS.

"Kerjasama bersama TotalEnergies dan QatarEnergy ini mengukuhkan aspirasi bersama kami untuk mewujudkan sektor huluan yang berdaya tahan dan progresif," katanya.

-- BERNAMA




#Petronas #Guyana #perjanjian petroleum #PETRONAS Energy Guyana