Ketidakstabilan harga minyak dalam industri minyak dan gas di seluruh dunia ketika ini tidak menjadi penghalang kepada syarikat petroleum nasional, PETRONAS bagi meneruskan komitmen dalam pelaburan pendidikan.

Komitmen itu dibuktikan apabila terbaharu, seramai 391 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia terpilih untuk menerima biasiswa syarikat itu bernilai RM110 juta di bawah Program Penajaan Pendidikan PETRONAS (PESP).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, menerusi PESP syarikat itu telah memberi sumbangan kepada negara dalam menyediakan bakat-bakat mahir terutamanya dalam industri minyak dan gas dalam pelbagai bidang dan disiplin bagi memenuhi permintaan pasaran dan industri.


Wan Zulkiflee menyampaikan sijil tawaran biasiswa PETRONAS kepada salah seorang pelajar sambil diperhatikan Raiha. - Foto PETRONAS
“Program penajaan ini merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial kami dalam menyokong pembangunan modal insan di negara ini dan juga salah satu daripada pelaburan untuk masa depan,” katanya semasa Majlis Penganugerahan PESP yang diadakan di Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) di sini pada Ahad.

Penajaan kali ini merupakan antara yang terbesar dilaburkan oleh PETRONAS dalam pendidikan membuktikan syarikat itu komited membantu anak bangsa.

268 pelajar tajaan bersama barisan pengurusan tertinggi PETRONAS di Majlis Penganugerahan PESP di UTP. - Foto PETRONAS
Jumlah penajaan yang besar juga elaras dengan strategi bakat global PETRONAS untuk mengambil tenaga kerja yang tangkas selain cepat menyesuaikan diri bagi mewujudkan bakat universal yang berkemampuan dan pelbagai.

Seramai 268 pelajar menerima biasiswa mereka pada majlis kali ini manakala penerima selebihnya akan disampaikan di lokasi berbeza iaitu Sabah, Sarawak dan Terengganu pada minggu hadapan.

Wan Zulkiflee, Raiha dan Naib Canselor UTP Datuk Abdul Rahim Hashim bersama sebahagian daripada pelajar tajaan biasiswa PETRONAS. - Foto PETRONAS
Dalam pada itu, menurut Naib Presiden Kanan Kumpulan Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan, Datuk Raiha Azni Abd Rahman, pelajar yang terpilih ditaja daripada peringkat persediaan sehingga ijazah sarjana muda.

“Mereka dipilih untuk menyambung pelajaran dalam bidang-bidang khusus seperti kejuruteraan mekanikal, kejuruteraan kimia dan undang-undang di UTP dan beberapa universiti luar negara,” katanya ketika ditemui pemberita.

Bagi tahun 2016 sahaja, lebih 7,500 permohonan telah diterima oleh PETRONAS namun calon yang berjaya melepasi sesi saringan sahaja layak dianugerahkan tajaan.

Salah seorang daripada penerima biasiswa bersama ibu bapanya selepas menerima tawaran untuk belajar di UTP di bawah tajaan PETRONAS. - Foto PETRONAS
Pemilihan dilakukan berdasarkan kriteria-kriteria seperti kecemerlangan akademik, kemahiran kepimpinan dan semangat berpasukan yang tinggi.

Menurut Raiha lagi, PETRONAS juga amat berbangga kerana lapan penerima biasiswa mereka merupakan antara yang menyumbang kepada kejayaan pasukan Formula ONE Mercedes AMG PETRONAS tahun lalu.

"Tahun lepas, pasukan Formula ONE Mercedes AMG PETRONAS berjaya meraih gelaran juara dalam kategori Kejuaraan Pengeluar Dunia di Grand Prix Rusia. Ketika itu pelajar tajaan kami sedang menjalani latihan industri di Breakley, United Kingdom," katanya.

Salah seorang daripada penerima biasiswa bersama ibu bapanya selepas menerima tawaran untuk belajar di UTP di bawah tajaan PETRONAS. - Foto PETRONAS
Sejak diperkenalkan pada tahun 1975, lebih 35,800 pelajar dari seluruh negara telah dibiaya oleh PETRONAS dengan jumlah tajaan mencecah RM3 billion.

PETRONAS yakin membantu generasi muda melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran mampu memenuhi kehendak industri dan negara dalam pelbagai bidang.