BISNES

PETROS meterai perjanjian tenaga strategik dengan rakan kongsi antarabangsa

Bernama 11/11/2025 | 10:30 MYT
PETROS berkata kerjasama itu menandakan satu lagi kemajuan penting industri tenaga Sarawak ke arah masa depan yang mampan dan inovatif. - Foto PETROS
KUCHING: Petroleum Sarawak Bhd (PETROS) memeterai tiga perjanjian tenaga strategik dengan rakan kongsi antarabangsa untuk menjalankan eksplorasi minyak dan gas serta mempercepatkan inisiatif pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) di Sarawak.


Ringkasan AI
  • PETROS menandatangani tiga perjanjian tenaga strategik dengan rakan kongsi antarabangsa untuk menjalankan eksplorasi minyak dan gas serta mempercepatkan inisiatif CCUS di Sarawak.
  • Kerjasama ini mencerminkan kemajuan penting dalam industri tenaga Sarawak untuk masa depan yang mampan dan inovatif, serta meningkatkan keupayaan tempatan dan memperkasakan bakat Sarawak dalam inovasi tenaga.
  • Perjanjian tersebut termasuk kerjasama dengan JOGMEC untuk projek eksplorasi di Mukah-Balingian, SCTSM dan SUSTEC untuk teknologi SQUID-TEM di Miri, dan Woodside Energy untuk inisiatif CCUS di Central Luconia, luar pesisir Sarawak.


Perjanjian tersebut dimeterai dengan Japan Organization for Metals and Energy Security (JOGMEC), SC Tubular Solutions Malaysia Sdn Bhd (SCTSM), Superconducting Sensor Technology Corporation (SUSTEC) dan Woodside Energy.

Pengerusi PETROS Tan Sri Hamid Bugo menerusi satu kenyataan berkata kerjasama itu menandakan satu lagi kemajuan penting industri tenaga Sarawak ke arah masa depan yang mampan dan inovatif.

"Melalui kerjasama ini, kami memperkukuh perkongsian dan inovasi untuk membuka peluang baharu dalam eksplorasi dan pembangunan rendah karbon, mencorakkan ekosistem tenaga yang terjamin, saksama dan inklusif yang menyokong pertumbuhan dan kemakmuran jangka panjang Sarawak," katanya.

Di bawah Perjanjian Kajian Bersama (JSA), PETROS dan JOGMEC akan bekerjasama dalam projek eksplorasi di darat pertama Sarawak di wilayah Mukah-Balingian bagi meningkatkan pengetahuan cari gali bawah permukaan dan menyokong pembangunan jangka panjang minyak dan gas di darat secara bertanggungjawab.

Kerjasama itu juga akan membantu membina keupayaan tempatan dan memperkasakan bakat Sarawak dalam inovasi tenaga.

Sementara itu, kerjasama PETROS dengan SCTSM dan SUSTEC melibatkan Kajian Bukti Konsep menggunakan teknologi Peranti Gangguan Kuantum Superkonduktor - Kaedah Elektromagnet Sementara (SQUID-TEM) canggih SUSTEC untuk mengesan isyarat minyak dan gas di medan minyak Adong Kechil West berhampiran Miri.

Ini merupakan penggunaan pertama teknologi SQUID-TEM di Sarawak, yang bertujuan untuk meningkatkan ketepatan eksplorasi dan mengurangkan ketidakpastian.

Bagi inisiatif CCUS, PETROS menandatangani Perjanjian Kajian Penyimpanan (SSA) dengan Woodside Energy di bawah Pusingan Bidaan Sarawak 2024 untuk menilai kebolehlaksanaan penyimpanan karbon di bawah tanah dengan selamat di Tapak 3A di Central Luconia, luar pesisir Sarawak.

PETROS diwakili oleh naib presiden Huluannya Jeremy Wong dan naib presiden kanan bagi Pengurusan Sumber Sarawak, Datuk Abang Arabi Abang Narudin.

JOGMEC pula diwakili naib presiden eksekutif Unit Perniagaan Tenaganya, Mori Hiroyuki; SUSTEC oleh presiden dan ketua pegawai eksekutif bersama, Tsunehiro Hato; SCTSM oleh presidennya, Yosuke Yamashita; dan Woodside oleh pengurus besar Pemerangkapan dan Penyimpanan Karbon, Andrew Nicholls.

PETROS berkata kerjasama strategik itu akan meningkatkan keupayaan tenaga Sarawak, memacu inovasi dalam eksplorasi dan teknologi rendah karbon, dan mewujudkan peluang baharu untuk bakat dan industri tempatan, selaras dengan visi negeri untuk menjadi hab serantau bagi pembangunan tenaga lestari.

-- BERNAMA




#Petros #Sarawak #eksplorasi minyak dan gas #CCUS