KUALA LUMPUR: Pharmaniaga Bhd telah menggariskan pelan strategik untuk menangani cabaran-cabaran yang dibentangkan oleh status Nota Amalan 17 (PN17) dengan fokus terhadap penyesuaian kewangan dan komitmen bagi mengatasi halangan-halangan.

Kumpulan itu telah melakar laluan ke arah pemulihan yang berdaya tahan serta kepesatan dalam kemajuan merentasi segmen perniagaannya.

Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif (EXCO), Ahmad Shahredzuan Mohd Shariff berkata, pelan strategik syarikat itu merangkumi inisiatif bersasar yang bertujuan memperkemas aktiviti perniagaan, mengoptimumkan keseluruhan operasi perniagaan dan kos, disamping mencari sinergi merentasi semua unit perniagaan.

"Kumpulan telah memberi penekanan yang besar bagi mengembangkan keupayaan dalam bidang biofarmaseutikal, dengan tumpuan kepada penubuhan fasiliti pembuatan canggih untuk vaksin dan insulin dalam menangani keperluan yang semakin meningkat dalam bidang terapeutik ini," katanya dalam kenyataan sempena mesyuarat agung tahunan ke-25 pada Isnin.

"Kami menyasarkan vaksin terutamanya di bawah Program Imunisasi Kebangsaan (NIP). Kerja-kerja ini berjalan lancar dan dijadualkan untuk dikomersialkan menjelang 2025 bagi vaksin dan 2026 untuk insulin. "

Syarikat juga menjangkakan proses rundingan pembaharuan konsesi akan dimuktamadkan tidak lama lagi dan telah mengadakan perbincangan positif dengan Kementerian Kesihatan.

Dalam isu berasingan, beliau berkata, Pharmaniaga mempunyai hampir 10 peratus penguasaan dalam pasaran ubat generik swasta, yang dilihat agak signifikan.

"Unjuran pertumbuhan kami di pasaran swasta bagi 2023 berada pada tahap 20 peratus, melepasi kadar pertumbuhan pasaran tahunan sebanyak tujuh peratus," katanya.

Untuk medan antarabangsanya, Ahmad Shahredzuan berkata, cabang logistik dan pengedaran kumpulan itu di Indonesia iaitu PT Millenium Pharmacon International Tbk menyasarkan jualan dua digit berbanding pencapaian tahun lepas.

Pengerusinya, Izaddeen Daud menjelaskan melangkah ke hadapan, matlamat syarikat adalah untuk mempelbagaikan perniagaan mereka.

"Dalam mencapai matlamat ini, kami akan terus meneroka peluang penjagaan kesihatan bukan konsesi dan mengembangkan perniagaan logistik kami," katanya.


- BERNAMA