BISNES

PHB lantik Mazuki Abdullah sebagai Pengarah Urusan Kumpulan

Bernama 25/12/2025 | 03:00 MYT
Dengan lebih 25 tahun pengalaman dalam bidang hartanah, strategi korporat dan pelaburan institusi, Mazuki berada pada kedudukan yang baik untuk memimpin PHB ke fasa pertumbuhan seterusnya, kata PHB.
KUALA LUMPUR: Pelaburan Hartanah Bhd (PHB) telah melantik Mazuki Abdullah @ Muhammad sebagai Pengarah Urusan Kumpulan baharunya, berkuat kuasa 1 Januari, 2026.

PHB dalam satu kenyataan hari ini berkata, Mazuki akan menggantikan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif semasa, Mohamad Damshal Awang Damit yang akan bersara setelah kontraknya tamat pada 31 Disember depan.

Mazuki kini memegang jawatan Ketua Bersama Permodalan Nasional Bhd bagi Bahagian Hartanah, tugasnya adalah menyelia portfolio hartanah domestik yang pelbagai dengan jumlah aset melebihi RM12 bilion.

Dengan lebih 25 tahun pengalaman dalam bidang hartanah, strategi korporat dan pelaburan institusi, Mazuki berada pada kedudukan yang baik untuk memimpin PHB ke fasa pertumbuhan seterusnya, kata syarikat itu.

Beliau memegang Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) dalam Perakaunan dan Kewangan dari University of Kent, Canterbury di United Kingdom.

Sepanjang tempoh perkhidmatannya, Mohamad Damshal telah melaksanakan pemulihan yang meluas memperkukuhkan operasi PHB, mempertingkatkan rangka kerja tadbir urusnya dengan ketara dan menerapkan budaya korporat lebih berdisiplin dan profesional, pada masa sama memulihkan kekuatan kewangan kumpulan.

Sepanjang tempoh berkenaan, PHB mencatatkan peningkatan dalam hasil dan keuntungan dan peningkatan tahap penghunian merentasi kebanyakan aset komersialnya.

PHB berkata, pembaharuan dilaksanakan di bawah kepimpinannya telah meletakkan semula kumpulan itu pada kedudukan lebih kukuh dan mampan, membolehkannya meneruskan pertumbuhan dengan lebih jelas dan berdaya tahan ke arah pencapaian penting pada 2027.

Lembaga Pengarah merakamkan penghargaan yang tinggi kepada Mohamad Damshal atas kepimpinan dan sumbangannya dengan menyatakan bahawa kepimpinannya sejak tiga tahun lalu telah memainkan peranan penting dalam membina semula asas PHB dan meletakkan kumpulan itu untuk fasa pertumbuhan seterusnya, katanya.

-- BERNAMA



#Pelaburan Hartanah Bhd #PHB #Mazuki Abdullah #Mohamad Damshal Awang Damit