KUALA LUMPUR: Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) menubuhkan dana dengan sumbangan RM2.43 juta bagi meringankan beban yang dihadapi pemilik kenderaan yang ditenggelami banjir di seluruh negara baru-baru ini.

Dalam kenyataannya pada Jumaat, PIAM berkata, Dana Bantuan Banjir CSR berkenaan adalah dalam bentuk subsidi untuk kos pembersihan mekanikal (tidak termasuk pembaikan) di mana-mana bengkel cekap yang disediakan oleh industri insurans am, melebihi komitmen sedia ada oleh penanggung insurans.

Katanya, ia adalah bagi mempercepatkan pembayaran penyelesaian tuntutan banjir, penepian dokumentasi tuntutan mandatori tertentu, proses tuntutan yang dipermudahkan dan langkah pelepasan khas tambahan yang mungkin disediakan oleh penanggung insurans individu.

"Subsidi adalah berdasarkan kos sebenar yang ditanggung, dan dihadkan pada maksimum RM100 bagi setiap motosikal dan maksimum RM500 bagi setiap kenderaan persendirian/komersial," katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Tambahnya, dana itu akan ditutup sebaik sahaja jumlah yang dicagarkan sebanyak RM2.43 juta habis.

Kata PIAM, subsidi diberikan atas dasar setiap kenderaan kepada motosikal, kenderaan persendirian termasuk kenderaan komersial tanpa mengira jenis polisi motor, iaitu perlindungan menyeluruh dengan atau tanpa lanjutan peril khas, kebakaran dan kecurian pihak ketiga, dan pihak ketiga.

Ujarnya, polisi motor mesti sah semasa banjir, dan sekiranya polisi motor luput, kenderaan mestilah sekurang-kurangnya terakhir diinsuranskan pada atau selepas 1 Jun 2021.

"Tuntutan yang berjaya untuk subsidi tidak akan menjejaskan diskaun tiada tuntutan anda (NCD)," tambah PIAM.

Persatuan itu berkata, pemegang polisi yang layak boleh memohon subsidi dengan mengemukakan permohonan mereka dalam talian melalui portal MyCSR-Flood.my berkuat kuasa 15 Januari 2022. -DagangNews.com