BISNES
PIKM, Planworth meterai MoU lonjak akses pembiayaan syarikat keselamatan

Dari kiri Setiausaha Kehormat PIKM, Habibullah Datuk Ahmad, Mohammad Ubaidillah, Kuek Andy dan Pengarah Eksekutif Planworth, Elaine Lim pada majlis menandatangan MoU, baru-baru ini.
KUALA LUMPUR: Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Planworth Global Factoring Sdn Bhd (Planworth), peneraju utama pembiayaan invois dan rantaian bekalan, bagi membuka akses pembiayaan alternatif kepada lebih 1,143 syarikat keselamatan berdaftar di seluruh negara.
Kerjasama strategik itu dilihat mampu memperkukuh daya tahan kewangan syarikat kawalan keselamatan tempatan melalui kemudahan pembiayaan mesra kredit yang lebih cepat, telus, fleksibel dan tidak memerlukan cagaran.
Presiden PIKM, Datuk Mohammad Ubaidillah Enam @ Iman menyifatkan inisiatif itu sebagai pencetus perubahan penting bagi industri keselamatan negara.
“Melalui kerjasama ini, syarikat keselamatan akhirnya mempunyai saluran pembiayaan kewangan alternatif yang cepat, telus dan boleh dipercayai. Ia bukan sekadar pembiayaan, tetapi sokongan menyeluruh untuk kelangsungan dan pertumbuhan syarikat tempatan dalam menjaga keselamatan awam serta premis strategik negara,” katanya.Planworth dipilih sebagai rakan strategik utama selepas melalui proses penilaian ketat melibatkan aspek produk, daya saing, etika perniagaan dan tahap kepuasan pelanggan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Planworth, Datuk Kuek Andy pula menegaskan, syarikat komited menyalurkan pembiayaan pantas dan mesra pelanggan bagi memastikan syarikat keselamatan terus kukuh serta berdaya saing.
“Kami percaya sektor keselamatan memainkan peranan penting dalam infrastruktur ekonomi dan sosial negara. Tahun ini sahaja, Planworth memperuntukkan dana sebanyak RM800 juta untuk memenuhi keperluan syarikat yang mahu bergerak lebih pantas dan yakin ke hadapan,” katanya.
Sehingga kini, Planworth telah menyalurkan hampir RM3 bilion melalui lebih 40,000 transaksi pembiayaan melibatkan kontrak bernilai lebih RM4 bilion merentasi pelbagai industri termasuk keselamatan.
Selain akses pembiayaan, PIKM dan Planworth turut merancang melaksanakan siri program literasi kewangan serta taklimat pembiayaan bagi membantu ahli PIKM mengurus kewangan korporat secara lebih berkesan.
Kerjasama ini diyakini akan meningkatkan daya saing syarikat keselamatan tempatan dan memperkukuh peranan industri berkenaan sebagai antara penyumbang penting kepada keselamatan serta kestabilan negara.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami