PJD Link dapat kelulusan prinsip Jemaah Menteri, kelulusan dasar kerajaan Selangor - KKR

Bernama
Julai 5, 2022 05:29 MYT
Menurut Kementerian Kerja Raya, objektif utama PJD Link adalah untuk menyuraikan kesesakan trafik bagi kawasan bandar raya Petaling Jaya.
KUALA LUMPUR: Cadangan projek Petaling Jaya Dispersal Elevated Highway (PJD Link) telah mendapat kelulusan prinsip daripada Jemaah Menteri pada 12 Nov 2017.
Kementerian Kerja Raya dalam kenyataan hari ini memaklumkan kelulusan berkenaan bagaimanapun tertakluk kepada rundingan lanjut mengenai cadangan teknikal, kewangan projek dan perjanjian konsesi ditandatangani pada 5 April lepas yang meletakkan syarat duluan iaitu Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling (EIA), Penilaian Impak Sosial (SIA) dan Penilaian Kesan Trafik (TIA) dilaksanakan syarikat terlebih dahulu sebelum perjanjian efektif dan projek boleh mula dibina.
Menurut kenyataan itu, cadangan projek berkenaan juga telah mendapat kelulusan dasar kerajaan Selangor pada 3 Sept 2020 melalui mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor (MTES).
"Objektif utama PJD Link adalah untuk menyuraikan kesesakan trafik bagi kawasan bandar raya Petaling Jaya dengan menyediakan sambungan-sambungan utama dengan jalan raya dan lebuh raya sedia ada.
"Projek ini melibatkan ketersambungan dengan enam lebuh raya sedia ada dan lima laluan rel utama bagi mencapai objektif untuk menyuraikan trafik," menurut kementerian itu sebagai maklum balas terhadap isu projek berkenaan dibangkitkan wakil penduduk terlibat yang disiarkan menerusi sebuah portal media, Ahad lepas.
Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa cadangan projek PJD Link telah mengambil kira ketersambungan dengan sistem pengangkutan awam dan sesi libat urus telah diadakan bersama Kementerian Pengangkutan dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
"Mengambil kira input kebolehlaksanaan daripada agensi serta pihak berkuasa berkaitan, PJD Link telah disenaraikan sebagai projek lebuh raya berpotensi untuk dilaksanakan secara penswastaan dalam Pelan Pembangunan Rangkaian Jalan Raya (HNDP) 2030 dan perancangannya telah diambil kira dalam Rancangan Tempatan (RT) pihak berkuasa tempatan (PBT) yang berkaitan.
"Akhir sekali, Lembaga Lebuhraya Malaysia dan pihak syarikat juga bersedia mengadakan sesi libat urus dengan persatuan penduduk dan para pemimpin tempatan terlibat bagi memberikan penerangan dan menjawab isu-isu yang mungkin berbangkit daripada pelaksanaan projek ini," jelas kenyataan itu.
-- BERNAMA
#PJD Link #Kementerian Kerja Raya #projek lebuh raya #kelulusan Jemaah Menteri