SHAH ALAM: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyasarkan nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM1 bilion bagi enam projek perumahan dan hartanah baharu sehingga akhir 2023.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan dan Keusahawanan) PKNS Suhaimi Kasdon berkata unjuran itu bagaimanapun tertakluk kepada keupayaan pasaran semasa.

"Projek-projek tahun ini melibatkan lebih 5,000 unit rumah di beberapa lokasi antaranya di Shah Alam, Kota Puteri, Kuala Selangor dan Antara Gapi, Rawang," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Discover PKNS 2023 di sini, semalam.

Mengulas kempen tersebut, Suhaimi berkata kempen Discover PKNS bermula Sabtu ini hingga 29 Okt, 2023 yang dijalankan di lima lokasi iaitu Kota Puteri, Antara Gapi, Selangor Cyber Valley di Cyberjaya, Kompleks PKNS dengan penutupnya di Pusat Konvensyen Shah Alam.

Kempen bercirikan aktiviti karnival itu menjadi platform bagi mempromosikan projek-projek PKNS dengan melibatkan komuniti setempat selain penyertaan rakan strategik.

"Ini juga bagi menarik penglibatan orang ramai menerusi aktiviti-aktiviti komuniti di Perbandaran PKNS selain sebagai platform menarik minat bakal pembeli.

"Pada masa sama, ini turut mengukuhkan kesedaran orang ramai mengenai produk- produk perumahan PKNS menerusi promosi projek sedia ada serta bakal dilancarkan," katanya.

Kempen itu juga, kata Suhaimi, dapat meningkatkan jualan produk PKNS dan merapatkan hubungan dengan pembeli rumah sedia ada, bakal pembeli, pimpinan masyarakat, bank, vendor, pihak peguam, dan pihak-pihak yang berkepentingan di perbandaran yang dibangunkan oleh PKNS.

Beliau berkata, susulan kejayaan dua siri kempen pada tahun lepas iaitu Discover Aurora dan Discover Azhara mencapai sasaran ditetapkan, PKNS bertindak meneruskan usaha serupa dengan lebih sistematik dan merangkumi semua perbandaran PKNS.

"Pelbagai aktiviti menarik diadakan di kesemua lokasi kempen tersebut seperti berbasikal, memancing, pertandingan memasak, forum perdana, persembahan artis popular tanah air, sukaneka rakyat selain pameran," katanya.

-- BERNAMA