BISNES
PKPS bangunkan Ehsan Dairy Farm, perkasa industri tenusu negara

Datuk Mohamad Khairil Mohamad Razi (enam, kiri), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (tengah) bersama Datuk Seri Amirudin Shari dan kakitangan PKPS di Majlis Pecah Tanah Ehsan Dairy Farm. - Foto PKPS
HULU SELANGOR: Selangor mencatat satu lagi pencapaian penting dalam sektor agromakanan negara menerusi Majlis Pecah Tanah Ehsan Dairy Farm, sebuah kompleks ternakan tenusu berskala besar diterajui Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).
Ringkasan AI
- Selangor mencatat satu lagi pencapaian penting dalam sektor agromakanan negara menerusi Majlis Pecah Tanah Ehsan Dairy Farm, sebuah kompleks ternakan tenusu berskala besar diterajui Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).
- Ketua Pegawai Eksekutif PKPS, Datuk Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata, inisiatif ini mendapat sokongan penuh Kerajaan Negeri Selangor dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.
- Iinisiatif ini juga sejajar dengan aspirasi nasional dalam memperkukuh keselamatan makanan dan mengurangkan kebergantungan kepada import.
“Idea untuk kita buat kompleks lembu tenusu ini tercetus semasa negara berhadapan pandemik COVID-19 sebab ketika itu, kita melihat salah satu masalah kita terlalu bergantung kepada sumber negara luar.
“Jadi dengan itu kami rangka pelan untuk wujudkan ladang tenusu khususnya di Selangor, supaya sedikit sebanyak dapat menyumbang kepada Tahap Sara Diri (SSL) yang berada pada tahap rendah.
“Dengan kerjasama KKDW, misi kita juga ingin menaikkan lagi tahap ekonomi di kawasan berhampiran dengan menyuntik teknologi terkini kerana kami rasa banyak kawasan Felda atau perkampungan dekat sini ada potensi.
“Kita juga nak latih anak-anak muda yang ada dalam kalangan komuniti Felda menggunakan kaedah TVET daripada segi agrikultur,” katanya ketika ditemui di majlis pecah tanah projek tersebut yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, di sini, pada Ahad.
Turut hadir Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, serta barisan kepimpinan tertinggi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor.
Projek yang terletak di kawasan seluas 42 ekar di Ladang PKPS Sungai Tengi ini juga menempatkan lebih 1,200 ekor lembu tenusu baka berkualiti tinggi seperti Jersey-Holstein Friesian (F2) diimport dari Australia.
Selain itu, projek ini dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang awal tahun 2026, dan disasarkan mampu menghasilkan sehingga 1.8 juta liter susu segar setahun, sekali gus menyumbang kepada peningkatan kadar sara diri (SSL) tenusu negara yang kini masih rendah iaitu 5.3 peratus, dengan lebih 94 peratus produk tenusu diimport dari luar negara.
Ehsan Dairy Farm juga merupakan komponen utama dalam pelaksanaan Rangka Tindakan Sekuriti Makanan Selangor 2021 hingga 2025 yang menumpukan kepada tiga tonggak utama iaitu Pengeluaran, Pengedaran dan Keterjaminan.
“Kita juga akan membuka kira-kira 100 peluang pekerjaan dan bakal menawarkan gaji premium contohnya bagi jawatan animal husbandry, doktor veterinar dan mereka yang berkebolehan menjaga jentera untuk memberi makanan kepada lembu-lembu sejurus ladang mula beroperasi.
“Pihak PKPS rasa untuk menaikkan taraf kehidupan seseorang, kita perlu menaik taraf sistem gaji di peringkat akar umbi, ubah kepada gaji premium dan kerja-kerja disediakan juga perlu memberi peluang untuk mereka menimba ilmu,” tambahnya.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (tengah) ketika melihat bijirin buat ternakan lembu. - Foto PKPS
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, produk tenusu diimport dari luar negara mencecah nilai besar iaiitu 94.7 peratus dengan nilai pengimportan sehingga RM4.6 bilion.
“Melalui langkah ini kita dapat turunkan jumlah import dan pengaliran balance of trade (imbangan perdagangan) wang ke luar negara.
"Jadi sekiranya kerajaan negeri dapat ambil langkah seperti ini, bersama pihak swasta mungkin kita boleh realisasikan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) nanti dan selama lima tahun kita akan dapat lihat hasil memberangsangkan daripada segi pengimportan bahan tenusu dan makanan-makanan lain,” ujarnya.
PKPS bertanggungjawab memacu sektor pertanian dan agro-makanan negeri sejajar dengan perkembangan sosioekonomi rakyat Selangor melalui pelbagai projek komersial dan tanggungjawab sosial dan korporat (CSR) yang berimpak tinggi.
Untuk maklumat lanjut tentang PKPS layari laman web https://www.pkps.gov.my/en/ atau Facebook PKPS.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami