BISNES

PKS 2026: Optimis berhati-hati, VM2026 jadi pemangkin - Maybank

Astro Awani 29/01/2026 | 04:40 MYT
Tiga asas utama yang perlu diberi tumpuan iaitu pendigitalan, disiplin kewangan dan penjajaran kepada keperluan ESG. - Foto Maybank
KUALA LUMPUR: Landskap perusahaan kecil dan sederhana (SME) Malaysia dijangka kekal mencabar pada 2026, ketika persaingan semakin sengit, pengguna lebih peka terhadap nilai, dan kecekapan operasi menjadi penentu utama kelangsungan perniagaan.

Namun, Ketua Perbankan SME Maybank, Hazlinda Abdul Hamid berkata, terdapat sebab untuk kekal optimis secara berhati-hati, terutama dengan peluang yang boleh dicetuskan melalui Tahun Melawat Malaysia (VM2026).

“Kami percaya ada ruang untuk optimis secara berhati-hati bagi PKS Malaysia pada 2026.

“VM2026 dijangka merangsang permintaan terhadap perniagaan tempatan, khususnya dalam sektor peruncitan, makanan dan minuman (F&B), perkhidmatan, serta logistik”, jelas Hazlinda dalam temu bual bersama Niaga AWANI.

Beliau melihat momentum itu sebagai pemangkin untuk PKS memperkemas operasi dan meningkatkan tahap kesiapsiagaan, terutama bagi perniagaan yang mahu berkembang secara mampan.

Katanya, ini boleh menjadi katalis untuk PKS beroperasi dengan lebih efisyen dan lebih bersedia.

Pada masa sama, Hazlinda menegaskan pendigitalan kini bukan lagi sekadar istilah popular, sebaliknya menjadi keperluan yang berkait rapat dengan kecekapan operasi, pengurusan aliran tunai dan keputusan perniagaan yang lebih tepat.

“Pendigitalan kini lebih kepada kecekapan untuk mengurangkan halangan, mengurus aliran tunai dengan lebih baik, membolehkan keputusan berasaskan data, dan memberi ruang masa kepada pemilik perniagaan,” katanya.

Mengulas pelaksanaan e-Invois, Hazlinda berkata pelanjutan tempoh pelaksanaan bagi PKS dengan perolehan RM1 juta hingga RM5 juta memberi ‘ruang bernafas’ kepada perniagaan yang sensitif terhadap aliran tunai.

Beliau berkata, langkah itu memberi masa tambahan untuk PKS menilai pilihan terbaik, di samping mengelakkan risiko kos tinggi akibat persediaan saat akhir.

Pelanjutan ini membolehkan PKS membuat perancangan lebih teratur dan mengelakkan premium pricing untuk urusan saat akhir.

Dalam usaha memastikan PKS kekal berdaya saing dan berdaya tahan, Hazlinda menekankan tiga asas utama yang perlu diberi tumpuan iaitu pendigitalan, disiplin kewangan dan penjajaran kepada keperluan ESG.

Beliau turut menegaskan, sokongan tidak semestinya bermula dan berakhir dalam organisasi, sebaliknya PKS perlu memanfaatkan jaringan komuniti perniagaan bagi membuka ruang perkongsian ilmu, kerjasama serta peluang pasaran baharu.

Seiring keperluan PKS yang semakin kompleks, Hazlinda berkata Maybank menyediakan pendekatan berbentuk ekosistem yang melangkaui perkhidmatan perbankan.

Antara teras utama ialah khidmat nasihat (advisory) melalui perkongsian pandangan industri dan unjuran pasaran, termasuk maklumat mengenai sokongan kerajaan, insentif dan geran untuk pelanggan PKS.

Selain itu, Maybank turut menghubungkan PKS dengan persatuan industri dan badan kawal selia berkaitan bagi urusan pensijilan, percukaian, serta peluang perdagangan.

“Apabila PKS disokong pada setiap peringkat pertumbuhan, mereka lebih bersedia untuk bersaing, menyesuaikan diri dan berkembang dengan yakin,” katanya.

2026 dilihat sebagai tahun yang menuntut PKS bergerak lebih pantas dan cekap, namun peluang kekal terbuka luas sekiranya perniagaan memanfaatkan momentum pelancongan, memperkemas operasi serta mengukuhkan asas kewangan dan pematuhan.






#Maybank #PMKS #usahawan #perniagaan