PKS kian terdesak akibat kenaikan kos, pemulihan sukar - SAMENTA

Bernama
Februari 20, 2022 13:27 MYT
Presiden SAMENTA Datuk William Ng berkata PKS sedang menghadapi beberapa cabaran termasuk peningkatan kos yang mendadak selain kekurangan tenaga pekerja. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) hari ini meminta kerajaan untuk mengutamakan kelangsungan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam bulan-bulan akan datang ketika perniagaan terbabit mengharungi "pemulihan yang sukar."
Presidennya Datuk William Ng berkata PKS sedang menghadapi beberapa cabaran termasuk peningkatan kos yang mendadak selain kekurangan tenaga pekerja.
"Sehingga dan melainkan cabaran-cabaran ini dapat diselesaikan atau dikurangkan secara ketara, bermakna sebarang harapan untuk pemulihan sepenuhnya ke tahap pra-pandemik adalah ilusi yang tidak realistik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ng berkata kerajaan harus lebih realistik dalam melaksanakan sebarang pelarasan yang sebaliknya hanya menjejaskan PKS.
Menurutnya, sebagai contoh, kewajaran bahawa kenaikan gaji minimum atau bil elektrik 'telah ditangguhkan selama dua tahun' itu juga tidak mengambil kira kerugian yang terkompaun.
"Tidak masuk akal untuk memberi amaran kepada PKS supaya tidak menaikkan harga atau memberhentikan pekerja yang berlebihan apabila kos meningkat dengan mendadak dan kami belum dapat beroperasi pada tahap pra-pandemik," katanya.
Persatuan itu menggesa kerajaan untuk mengambil langkah segera bagi menyelamatkan dan melaksanakan intervensi dasar yang lebih agresif pada masa ini untuk membantu PKS kembali ke tahap sebelum pandemik.
Malah, SAMENTA turut mencadangkan beberapa langkah yang boleh diambil bagi menyelamatkan PKS termasuk menghentikan serta-merta kenaikan bil elektrik, mempercepat peralihan kepada sistem pinjaman yang diterajui pasaran serta membuka semula sempadan negara dengan segera.
-- BERNAMA
#PKS #perusahaan kecil dan sederhana #SAMENTA #WILLIAM NG