PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya beberapa aspek berkaitan gaji minimum diteliti secara menyeluruh sebelum sebarang pengumuman dibuat.
Jurucakap Kerajaan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu, termasuk tempoh pelaksanaan, kumpulan pekerja dan sektor yang terbabit.
Katanya, Jemaah Menteri turut mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) yang sebelum ini mengeluarkan kenyataan berhubung isu gaji minimum.
“Perdana Menteri meminta supaya beberapa aspek dikaji dengan lebih teliti dan sekiranya ada apa-apa pengumuman, salah satu tarikh yang mungkin adalah ketika pembentangan Belanjawan pada 9 Oktober nanti.
“Namun, dalam mesyuarat hari ini, Perdana Menteri meminta supaya beberapa aspek diteliti. Kita tidak mahu dalam pelaksanaannya nanti, sama ada dari segi jangka masa, kumpulan ataupun sektor, kita akan teliti secara menyeluruh.
“Jemaah Menteri juga mengambil sikap untuk mendengar pandangan daripada pelbagai pihak termasuk FMM yang ada mengeluarkan kenyataan berhubung isu gaji minimum tersebut," katanya pada sidang media pasca Mesyuarat Kabinet di sini, pada Rabu.