PM kesal kerajaan negeri Selangor tidak benar guna tapak bagi program KUKKM

Fareez Azman
Oktober 20, 2022 05:20 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap pada Majlis Perasmian Karnival Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia Negeri Selangor di Dataran Eco Grandeur Puncak Alam hari ini.- Foto BERNAMA
KUALA SELANGOR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menempelak tindakan kerajaan Negeri Selangor yang didakwa menghalang penganjuran Karnival Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia (KUKKM) Negeri Selangor di Kuala Selangor pada Khamis.
Ujarnya, pihak penganjur iaitu Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Kementerian Kewangan berdepan kesukaran apabila tidak diberi kebenaran mengadakan program itu pada asalnya.
"Saya dah nampak kebangkitan (rakyat Selangor). Saya difahamkan agak sukar untuk melaksanakan program hari ini, dimaklumkan kerajaan negeri Selangor tidak bersetuju dan tidak membenarkan penggunaan tapak ini untuk program.
"Nasib baik tapak program ini tapak swasta jadi mereka tidak boleh halang. Ini tapak swasta.Kita buat ini demi kepentingan penjaja usahawan di Selangor.
"Bukan kita buat program ini untuk berkempen tapi beri ruang peniaga kecil usahawan kecil, tetapi mereka tidak bagi," jelasnya ketika berucap merasmikan Karnival KUKKM Negeri Selangor di sini pada Khamis.
Ujar Ismail Sabri lagi, sikap ditunjukkan kerajaan negeri itu tidak seharusnya berlaku demi kepentingan usahawan kecil dan sederhana di Selangor.
"Begitulah sebenarnya sikap mereka (pembangkang) terhadap golongan penjaja seperti tuan-tuan dan puan-puan.
"Nasib baik kita ada Menteri KUSKOP prihatin menjaga kepentingan usahawan semua.
"Kita tidak kira walaupun tidak dibenarkan, tapi kita berusaha pastikan program membela usahawan ini kita laksanakan juga," katanya lagi.
Turut hadir dalam majlis itu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar.
Kira-kira 10,000 usahawan hadir dalam majlis itu.
#Karnival Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia #ismail sabri yaakob #Kuala Selangor #Noh Omar