KUALA LUMPUR: Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) masih mempunyai ruang luas untuk berkembang meskipun berdepan cabaran ekonomi, perubahan pasaran dan ketidaktentuan geopolitik.
Mentor Usahawan dan Pengasas RichWorks Group Holdings Berhad (RichWorks), Datuk Wira Dr Azizan Osman berkata, usahawan tidak seharusnya menunggu keadaan menjadi sempurna, sebaliknya perlu terus membina hubungan, mencari peluang baharu serta memperkukuh kapasiti diri dan perniagaan.
Menurutnya, berbaki kira-kira empat bulan sebelum 2026 melabuhkan tirai, perubahan masih boleh dilakukan sekiranya usahawan mempunyai keinginan, keberanian dan kesediaan untuk bertindak.
“Dalam bisnes, peluang biasanya masih ada. Persoalannya, adakah driver bisnes itu masih ada keinginan untuk bergerak, belajar, membina hubungan dan mencari jalan?
“Ramai usahawan bukan kekurangan peluang, tetapi kadang-kadang mereka bergerak sendiri terlalu lama. Bila mereka berada dalam ekosistem yang betul, berjumpa orang yang betul dan berkongsi pengalaman dengan usahawan lain, mereka boleh nampak jalan yang sebelum ini mereka tidak nampak,” katanya dalam kenyataan media pada Khamis.
Azizan berkata, cabaran ekonomi dan perubahan pasaran bukan alasan untuk usahawan berhenti berkembang, sebaliknya menjadi ujian terhadap kekuatan sebenar seseorang pemilik perniagaan.
Bagi memperluas ruang kerjasama dalam kalangan usahawan, RichWorks memperkenalkan platform RichWorks Alumni yang menghimpunkan alumni serta peserta program kendaliannya sejak 2008.
Platform berkenaan disediakan untuk membolehkan ahlinya kembali berhubung, membina jaringan, bertukar pengalaman dan meneroka peluang perniagaan baharu.
Dalam pada itu, Azizan berkata, perkembangan sesebuah perniagaan bukan hanya bergantung pada produk, jualan atau strategi, sebaliknya turut dipengaruhi kekuatan hubungan yang dibina.
“Bisnes juga tentang hubungan, hubungan sesama kita, siapa yang kita kenal, siapa yang kita belajar daripada mereka dan siapa yang boleh membuka perspektif baharu kepada kita.
“Sebab itu, kami mengajak usahawan mahupun mereka yang pernah sertai program dianjurkan sejak 2008 lagi untuk kembali berhubung dan bersama dalam komuniti yang dibina khas untuk alumni.
“Komuniti ini akan berada dalam platform RichWorks Alumni untuk mereka dapat membina jaringan, hubungan, melihat peluang, bertukar cerita dan mengingatkan semula bahawa perjalanan membina bisnes tidak perlu dilalui seorang diri,” jelasnya.
Pengenalan platform itu bersempena ulang tahun ke-18 RichWorks yang turut menjadi ruang refleksi terhadap perjalanan hampir dua dekad organisasi berkenaan dalam membimbing usahawan membina perniagaan secara lebih tersusun, berdaya tahan dan berimpak.
“Selepas 18 tahun, misi kami tetap sama, iaitu membantu lebih ramai usahawan berubah, berkembang dan membina bisnes yang bukan sahaja memberi hasil kepada diri sendiri, tetapi turut memberi manfaat kepada keluarga, pasukan, pelanggan dan ekonomi negara.
“Kami percaya apabila usahawan berubah, cara mereka memimpin, membuat keputusan dan membina bisnes juga akan berubah. Dari situlah transformasi sebenar bermula,” tegasnya.
Semangat berkenaan diterjemahkan menerusi penganjuran Court of Millionaires - Close Up With Founders, yang menggabungkan sesi jaringan perniagaan dengan aktiviti pickleball dalam suasana santai.
Acara berkenaan menghimpunkan kira-kira 200 pemilik perniagaan, alumni RichWorks, rakan strategik serta usahawan daripada komuniti The Titan, Titan Circle Plus++ dan Spire.
Antara tokoh yang hadir ialah tiga kali Olimpian dan pemenang pingat emas Sukan Komanwel, Josiah Ng; bekas kapten pasukan hoki negara, Datuk Mirnawan Nawawi; Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Audio, Nazri Noran; Ketua Pegawai Komersial Astro, Tan Kam Leong serta usahawan selebriti, Datuk AC Mizal.
Diasaskan pada 2008, RichWorks menyediakan bimbingan kepada pemilik perniagaan dalam aspek pemikiran, kepimpinan, strategi, pemasaran, penjenamaan dan pertumbuhan perniagaan.
Usahawan dan bekas peserta program RichWorks yang mahu menyertai komuniti berkenaan boleh mendapatkan maklumat lanjut menerusi alumni.richworks.com/telegram.