BISNES

PMKS perlu inovasi, adaptasi, kolaborasi untuk terus berkembang - Sandiaga Uno

Harits Asyraf Hasnan 30/06/2025 | 04:10 MYT
Sandiaga turut mencadangkan agar konsep 'sister city' antara bandar di Malaysia dan Indonesia diteroka bagi mengintegrasikan ekonomi tempatan dan memperluas pasaran produk tempatan. - Foto Astro AWANI
IPOH: Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) disaran untuk terus melakukan inovasi, adaptasi dan kolaborasi bagi memastikan kelangsungan dan pertumbuhan perniagaan dalam era yang semakin mencabar.
Pengasas OK OCE Indonesia, Sandiaga Uno, berkata pendekatan '3Si' – inovasi, adaptasi dan kolaborasi – menjadi kunci utama dalam memperkukuh daya saing PMKS, selain membuka peluang kerjasama rentas sempadan termasuk dengan Malaysia.
“Kita sudah banyak bersaing, tiba masanya untuk kita berkolaborasi,” katanya pada sesi bertajuk “OK OCE Indonesia: Driving Grassroots Entrepreneurship Across Borders”, yang berlangsung seiring penganjuran Jelajah Jiwa SME pada Sabtu lalu.
Mengulas lanjut, Sandiaga menjelaskan bahawa gerakan OK OCE kini mempunyai lebih 600,000 anggota di seluruh Indonesia dan sedang mengembangkan jalinan kerjasama antarabangsa, termasuk dengan JNJ dan Astro AWANI.
Bekas Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif itu turut menyentuh beberapa tren utama yang sedang membentuk landskap keusahawanan global, antaranya ekonomi halal yang berkembang pesat seiring dengan proses pendigitalan.
“Malaysia sudah lebih dahulu dalam pembangunan ekonomi halal. Kita boleh bekerjasama untuk mempercepatkan pembangunan ekosistem ini,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan ekonomi hijau dan kelestarian, yang kini menjadi keutamaan generasi muda seperti Gen Z, yang bukan sahaja menilai kualiti produk tetapi juga impaknya terhadap alam sekitar melalui prinsip 3P – Planet, People and Prosperity.
Sandiaga turut mencadangkan agar konsep 'sister city' antara bandar di Malaysia dan Indonesia diteroka, seperti Ipoh dengan salah satu bandar di Indonesia, bagi mengintegrasikan ekonomi tempatan dan memperluas pasaran produk tempatan.
“Tren terkini juga menunjukkan peningkatan minat terhadap produk tempatan. OK OCE menyokong usahawa dari peringkat tempatan ke global melalui digitalisasi dengan kepantasan menjadi kunci utama.
“Jangan hanya buat duit untuk satu sama lain, tetapi buat duit bersama-sama,” katanya, sambil menekankan bahawa PMKS perlu bersedia untuk menghadapi krisis yang mungkin berlaku lebih kerap pada masa hadapan dengan membina perniagaan yang tahan uji.
#Indonesia #pelancongan #OK OCE #PMKS #Sandiaga Uno