PNB lancar 2 produk baharu, umum agihan pendapatan

Bernama
September 27, 2018 08:06 MYT
Zeti (kiri) dan Abdul Rahman ketika majlis perasmian. -Bernama
Permodalan Nasional Bhd (PNB) melancarkan dua unit dana amanah harga berubah di bawah Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), dan mengumumkan agihan pendapatan bagi Amanah Saham 1Malaysia, hari ini.
Dana unit amanah itu -- ASN Equity 5 dan ASN Sara 2 -- merupakan sebahagian daripada usaha PNB untuk meluaskan portfolio unit amanahnya, menjadikan penawaran produk semasa dalam segmen itu kepada lapan yang meliputi kategori pertumbuhan, gabungan seimbang dan konservatif bercampur untuk memenuhi keperluan pelabur yang berkembang.
"Selaras pelan strategiknya, ASNB bermatlamat untuk menawarkan produk yang lebih luas di bawah setiap kategori dana untuk memenuhi keperluan pelabur yang berbeza.
"Keadaan pasaran semasa juga menyediakan titik harga yang menggalakkan bagi pelabur," kata Pengerusi Kumpulan Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz semasa pelancaran itu, sambil menambah bahawa produk baharu itu merupakan pencapaian utama bagi PNB dan ASNB, berikutan pelancaran ASNB 15 tahun lepas.
ASN Equity 5 ialah dana pertumbuhan ekuiti yang memenuhi keperluan pelabur muda yang mahu mewujudkan tahap modal yang berpatutan dan agihan pendapatan melalui portfolio pelaburan yang lebih pelbagai.
"Dana ini akan melabur 70 hingga 90 peratus daripada nilai aset bersih (NAB) dalam ekuiti, manakala bakinya dilaburkan dalam sekuriti pendapatan tetap dan instrumen pasaran wang, termasuk aset cair," kata Zeti.
Sementara itu, ASN Sara 2 pula ialah dana konservatif aset campuran yang disesuaikan untuk perancangan pelabur yang lebih matang dan berisiko untuk meraih aliran pendapatan yang stabil dengan potensi pertumbuhan jangka panjang.
Dana ini akan melabur 20 hingga 80 peratus daripada NABnya dalam sekuriti pendapatan tetap dan instrumen pasaran wang termasuk aset cair, dan selebihnya akan dilaburkan dalam ekuiti.
Harga tawaran awal untuk kedua-dua dana ialah RM1 seunit dalam tempoh tawaran awal mulai 24 Sept - 8 Okt 2018, dengan pelaburan awal minimum sebanyak RM10 dan pelaburan tambahan minimum sebanyak RM1.
"Menerusi penyusunan semula dana harga berubah-ubah ASNB pada Mei 2018, caj jualan untuk ASN Equity 5 ialah 5.0 peratus NAB seunit, manakala caj jualan untuk ASN Sara 2 akan mencapai 3.5 peratus daripada NAB bagi setiap unit," katanya.
PNB juga menamakan semula tiga dana harga tetap ASNB - Amanah Saham Didik, yang kini dikenali sebagai Amanah Saham Bumiputera 3 Didik, Amanah Saham Wawasan 2020 sebagai Amanah Saham Malaysia (ASM) 2 Wawasan dan Amanah Saham 1Malaysia sebagai ASM 3, berkuat kuasa 15 Okt.
Sementara itu, PNB mengumumkan agihan pendapatan enam sen seunit untuk ASM 3 dengan anggaran pembayaran sebanyak RM755 juta kepada 440,000 pemegang akaun, yang kini memiliki 12.7 bilion saham.
ASM 3 mencatatkan pendapatan bersih sebanyak RM671.6 juta untuk lapan bulan pertama tahun ini.
Sementara itu, Zeti berkata PNB melaporkan prestasi kewangan yang positif bagi suku ketiga berakhir 31 Ogos 2018, dengan jumlah aset di bawah pengurusannya meningkat 7.3 peratus tahun ke tahun kepada RM288.1 bilion daripada RM268.6 bilion sebelumnya.
"PNB terus kekal berdaya tahan dalam pengurusan portfolio pelaburannya. Kita perlu meneroka bidang lain untuk memanfaatkan nilai dan meneroka peluang baharu untuk memacu pertumbuhan," katanya.
-- BERNAMA
#Amanah Saham Nasional Bhd #ASN Equity 5 #ASN Sara 2 #ASNB #pelaburan #Permodalan Nasional Bhd #PNB #unit dana amanah #Zeti Akhtar Aziz