Permodalan Nasional Bhd mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 6.0 sen seunit bagi Amanah Saham Malaysia (ASM) dan 6.5 sen seunit bagi Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2) untuk tahun kewangan yang berakhir pada 31 Mac, 2017.

Agihan pendapatan bagi ASM akan melibatkan pembayaran berjumlah RM1 bilion manakala ASB 2 pula akan membabitkan pembayaran sebanyak RM384.7 juta, kata Pengerusinya Tan Sri Abdul Wahid Omar pada taklimat mengenai 'Rebiu 2016 dan Perkembangan Terkini PNB 2017' di sini hari ini.

"Agihan pendapatan ASM berkenaan akan memberi manfaat lebih 500,000 pemegang unit yang kini memiliki sejumlah 17.3 bilion unit, manakala agihan ASB 2 akan memberi manfaat kepada lebih 200,000 pemegang unit yang kini memiliki kira-kira 7.4 bilion unit," katanya.

Sehingga 28 Feb 2017, Abdul Wahid berkata, ASM mencatatkan pendapatan kasar sebanyak RM1.2 bilion dengan keuntungan daripada jualan saham menyumbang RM622.2 juta daripada 52.4 peratus pendapatan kasar.

"Pendapatan dividen daripada pelaburan dalam syarikat-syarikat menyumbang RM404.2 juta atau 34 peratus, manakala baki pendapatan sebanyak RM160.9 juta atau 13.6 peratus diperoleh daripada pelaburan dalam instrumen jangka pendek dan pendapatan lain," katanya.


Sementara itu, beliau berkata, ASB 2 mencatatkan pendapatan kasar sebanyak RM349.8 juta setakat 28 Feb 2017, dengan keuntungan daripada jualan saham menyumbang RM158.8 juta atau 45.4 peratus kepada pendapatan kasar.

Abdul Wahid berkata pendapatan dividen daripada pelaburan dalam syarikat-syarikat menyumbang RM133.2 juta atau 38.2 peratus manakala baki RM57.8 juta atau 16.5 peratus diperoleh daripada pelaburan dalam instrumen jangka pendek dan pendapatan lain.

Beliau berkata pengagihan yang diisytiharkan oleh ASM dan ASB 2 akan dilaburkan semula sebagai unit tambahan ke dalam akaun pemegang unit pada RM1 seunit dan akan dikreditkan secara automatik ke dalam akaun pemegang unit pada 1 April, 2017.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2016, PNB mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 6.3 sen dan 7.05 sen masing-masing untuk ASM dan ASB 2.

Bagi pendapatan Amanah Saham Gemilang (ASG), yang terdiri daripada tiga dana iaitu ASG-Pendidikan, ASG-Kesihatan dan ASG-Persaraan, Abdul Wahid berkata, PNB telah memperuntukkan sejumlah RM138 juta yang akan memberi manfaat kepada lebih 140,000 pemegang unit yang melanggan 3.1 bilion dana.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2017, ASG-Pendidikan, ASG-Kesihatan dan ASG-Persaraan telah mengumumkan agihan pendapatan, masing-masing sebanyak 4.5 sen, 4.25 sen dan 5.15 sen seunit.

Bagi tahun kewangan 2016, ASG-Pendidikan, ASG-Kesihatan dan ASG-Persaraan mengumumkan agihan pendapatan, masing-masing sebanyak 6.0 sen, 7.0 sen dan 6.8 sen. -- Bernama