Permodalan Nasional Bhd (PNB) hari ini mengumumkan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulannya, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman, akan bersara berkuat kuasa 30 Sept, 2016, selepas 37 tahun bersama Kumpulan PNB.

Lembaga Pengarah PNB turut mengumumkan Datuk Abdul Rahman Ahmad, 47, bekas CEO Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) akan mengambil alih jawatan Presiden/CEO Kumpulan mulai 1 Oktober 2016.

"Hamad telah bersama dengan kumpulan selama 37 tahun, 18.5 tahun sebagai CEO. Beliau memainkan peranan penting dalam memastikan pulangan yang kompetitif dan berterusan kepada pemegang unit PNB.

"Sebagai mewakili lembaga dan pengurusan, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Hamad atas perkhidmatan cemerlang dan komitmen beliau dalam menjadikan PNB sebagai sebuah institusi pelaburan utama dan dihormati di negara ini pada hari ini," kata Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar, dalam satu kenyataan.

Semasa tempoh perkhidmatan Hamad, jumlah aset di bawah pengurusan PNB meningkat enam kali ganda daripada RM38.7 bilion pada Disember 1997 kepada lebih RM260 bilion ketika ini.

Pada masa yang sama, jumlah unit dalam agihan berkembang enam kali ganda daripada 30.7 bilion unit pada Disember 1997 kepada lebih 208 bilion unit, dengan jumlah akaun pemegang berganda daripada 6.9 juta akaun pada 1998 kepada 12.8 juta akaun.

Wahid berkata Hamad menjadikannya sebagai misi beliau untuk memastikan PNB dapat memenuhi harapan tinggi pemegang unitnya setiap tahun meskipun persekitaran pasaran yang mencabar.

PNB memberikan pulangan yang konsisten dan kompetitif bagi semua dananya termasuk Amanah Saham Bumiputera (ASB), Amanah Saham Nasional dan Amanah Saham Wawasan 2020, dengan dana utama ASB menyediakan purata pulangan 8.63 peratus setahun dalam tempoh 10 tahun lepas.

Hamad, bagaimanapun, akan terus berkhidmat sebagai Pengerusi PNB Development Sdn Bhd, cabang pembangunan hartanah milik penuh PNB.

Sementara itu pengganti Hamad, Abdul Rahman memiliki pengalaman lebih 25 tahun dalam bidang audit, korporat dan ekuiti swasta.

"Lembaga gembira dan yakin proses penggantian yang teratur akan dapat dicapai.

"Saya berharap dapat bekerjasama dengan beliau untuk membangunkan kekuatan yang sedia ada dalam institusi kami dan membawa dengan jayanya PNB ke fasa pembangunan korporat seterusnya," kata Wahid.

Sebelum menubuhkan Ekuinas, Abdul Rahman merupakan Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Bhd, dan memegang jawatan Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Resources Corp Bhd.

Beliau memiliki Sarjana Sastera dalam Ekonomi daripada Cambridge University, United Kingdom.

Hamad dalam satu kenyataan berasingan berkata beliau merasa sangat terharu dapat berkhidmat kepada rakyat Malaysia lebih 37 tahun dalam PNB, menjadi sebahagian daripada pasukan yang terlibat dalam pelaksanaan dasar kerajaan bagi perkongsian dan pengagihan harta korporat dalam kalangan masyarakat menerusi skim amanah saham.

"Saya bersyukur kerana diberikan peluang untuk menyumbang bagi kebaikan kehidupan pemegang unit PNB menerusi pengumpulan pelaburan dan peningkatan pendapatan," kata Hamad.

Menurutnya beliau berharap satu hari nanti setiap rakyat Malaysia akan dapat mengubah kehidupan mereka dengan melengkapkan diri mereka sendiri dengan kemahiran kewangan dan pelaburan.